BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum. Saya nak bertanya tentang hukum dalam Islam tentang seorang bapa yang sihat tubuh badannya, melepaskan tanggungjawab mencari rezeki atau duit kepada anak-anak dan isteri, atas sebab alasan mahu berehat atau pendek kata malas.

Saya seorang anak lelaki yang sulung dan mempunyai 3 adik perempuan (seorang sudah bekerja, dua lagi masih belajar). Setelah ayah saya berhenti kerja dalam 5 tahun dahulu, dia langsung tidak pernah mencari rezeki untuk membeli makan minum keluarga, membayar bil air atau api, malah hutang-hutang dia pula dilangsaikan oleh ibu saya kerana terpaksa, ditakuti bank akan mengambil tindakan jika tidak bayar.

Disebabkan ini, saya tidak mempunyai wang simpanan (samada untuk kegunaan kecemasan ataupun simpanan untuk kahwin) walaupun sudah lama bekerja dan saya hanya menghabiskan wang saya untuk menanggung ibu ayah dan adik-adik saya. Mohon pencerahan dari tuan-puan yang lebih mahir dalam bab ini.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Nafkah dari segi bahasa bermaksud mengeluar dan membelanjakan iaitu tiap-tiap sesuatu yang dibelanjakan oleh seseorang kepada seorang yang lain.

Dari segi sudut istilah ahli fiqh pula bererti belanja atau sara hidup yang dikeluarkan oleh seseorang kepada orang yang layak menerima pembiayaan daripadanya seperti isteri dan anak-anak yang di bawah tanggungannya

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nisa' ayat ke 34 :

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ

Maksudnya : "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka."

Ijmak’ Ulama’ bersepakat menyatakan bahawa suami wajib memberi nafkah kepada isterinya dengan syarat-syarat yang tertentu. Di mana, hal ini telah dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran dan juga hadis. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 233:

 وَٱلْوَٰلِدَٰتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَـٰدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى ٱلْمَوْلُودِ لَهُۥ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu dengan cara makruf.”

Oleh yang demikian, suami berkewajipan menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Sekiranya suami sengaja apatah lagi malas dan cuai dalam memberikan nafkah kepada keluarganya maka hukumnya adalah berdosa. Isteri boleh memanjangkan kes ini ke mahkamah Syariah yang berhampiran sekiranya suami tetap tidak mahu untuk membayar atau menyediakan nafkah yang selayaknya walaupun telah ditegur atau dinasihati oleh pihak isteri ataupun pihak ketiga yang berautoriti.

Amat penting bagi suami ataupun isteri memahami tanggungjawab masing-masing supaya pernikahan yang dibina dapat dipenuhi dengan mawaddah, sakinah dan rahmah.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 163

message user image