BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak bertanyakan soalan mewakili ibu saya, ibu saya bertanya boleh kah? Di qadar solat seperti Penerangan dalam tiktok  ini.https://vt.tiktok.com/ZS8KyAUA8/

Harap ustaz dapat memberi pencerahan. Agar dapat saya terangkan kepada ibu saya

Terima kasih saya ucapkan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Merujuk kepada link tiktok yang diberikan, pihak kami mendapati pendakwah tersebut ada menyatakan bahawa boleh untuk seseorang yang solat dhuha pada bulan Ramadhan berserta niat qada solat Fardhu yang ditinggalkan, akan mendapat kedua-dua pahala yang diniatkan itu iaitu pahala solat sunat Dhuha dan tertunai solat qada. Kenyataan ini berdasarkan rujukan beliau kepada riwayat hadis yang menyatakan pahala sunat pada bulan Ramadhan menyamai pahala ibadah wajib.

Pada hakikatnya, ganjaran pahala seperti ibadah sunat tidak dapat atau tidak boleh menggantikan ibadah wajib. Begitu juga keadaanya dengan solat Fardhu yang ditinggalkan. Solat Fardhu yang ditinggalkan tetap wajib diqada dan ia tidak tertunai hanya dengan melaksanakan solat sunat  pada bulan Ramadhan. Ganjaran ibadah sunat menyamai ibadah wajib hanya menerangkan berkaitan ganjaran pahala yang banyak dan wajar direbut oleh semua.

Sebagai contoh, hadis sahih yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita Ansar:

 فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً

Maksudnya: Sekiranya telah tiba bulan Ramadhan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Seungguhnya umrah dalam bulan ini (menyamai pahalanya) seperti mengerjakan haji. (Riwayat Muslim)

Hadis ini bukanlah membawa maksud gugur kewajipan menunaikan ibadat haji pertama kali (Haji Wajib) bagi mereka yang berkemampuan hanya kerana telah melaksanakan umrah pada  bulan Ramadhan. Sebaliknya hadis ini memberi galakan dan menyatakan kelebihan umrah pada bulan Ramadhan yang mempunyai pahala seperti menunaikan haji. 

Justeru, setiap sesuatu yang diucapkan oleh mana-mana pihak hendaklah disampaikan secara berintegriti dan bertanggungjawab agar ianya tuntas dijadikan rujukan oleh orang ramai.

والله أعلم بالصواب

 

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 106

message user image