Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Saya ingin bertanya boleh ke seorang muslim itu menjadi peguam atau hakim yang menggunakan undang-undang buatan manusia di dalam hujahan dan penghakiman?
Bolehkah seseorang muslim itu menggunakan kes-kes dari england di dalam hujahan? Adakah perbuatan ini bertentangan dengan ajaran Islam? Terima Kasih.
Jawapan
Berdasarkan soalan tuan, terdapat perbezaan antara tugas seorang peguam dan hakim.
Peguam merupakan wakil dalam perbicaraan di mana seseorang yang berhadapan dengan kes mahkamah mewakilkan individu yang layak dan dipercayai sebagai juru bicara bagi pihak dirinya untuk mencapai kebenaran. Menurut kitab Fatawa Islamiyyah, seorang muslim yang bekerja sebagai peguam adalah tidak menjadi kesalahan. Jika peguam tersebut menjadi wakil bagi pihak yang benar untuk menuntut kebenaran dan kebaikan ia merupakan sikap terpuji, sebaliknya jika peguam menjadi wakil pihak yang bersalah ia adalah diharamkan. Perkara ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
Manakala hakim berperanan mengetuai prosiding undang-undang, tidak boleh menyiasat dan hanya bergantung kepada hujah di antara pihak yang menuntut dan pihak yang kena tuntut serta membuat keputusan dengan adil berdasarkan undang-undang dan bukti yang dikemukakan di mahkamah.
Sebagai seorang peguam atau hakim adalah tidak menjadi suatu kesalahan untuk menggunakan undang-undang buatan manusia selama undang-undang tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak dan tidak menzalimi orang lain.
Adalah tidak menjadi kesalahan bagi seseorang menggunakan kes-kes di England di dalam penghujahan selama keputusan di dalam kes tersebut tidak menyalahi hukum syarak atau bertentangan dengan ajaran Islam.