Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1) Ada Ibu2 yang menyusukan Anak Bayi mereka melebihi 2 tahun saperti di syariatkan. Ada kah ini di bolihkan dari segi hukum dan apa kah Dalil nya??
2) Saya tinggal dengan anak Lelaki saya beserta menantu perempuan dan cucu2 tiga orang berumu antara 3 ke 5 tahun. Soalan saya: Jika anak lelaki saya pergi bekerja di luar selama 10 hari Bolih kah saya tetap duduk dengan menantu dan cucu2???
Jawapan
Merujuk kepada soalan pertama yang diajukan:
1. Hukum menyusukan anak melebihi 2 tahun adalah harus sebagaimana pandangan Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam Tafsirnya: “Dan penambahan atas kadar dua tahun atau berkurangnya adalah dibolehkan dengan syarat tanpa kemudaratan kepada bayi dan berlaku dengan keredhaan kedua ibu bapa.” Justeru, tidak menjadi masalah sekiranya ibu terus menyusukan anaknya melebihi tempoh 2 tahun dengan syarat tidak memudaratkan anak tersebut dan perlu ditambah makanan yang mengandungi zat seimbang untuk tumbesaran yang sihat.
2. Pada asasnya, hukum duduk berdua atau tinggal bersama, seorang lelaki dan seorang perempuan di dalam sebuah rumah adalah haram berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.
Namun, perkara ini dibenarkan menurut syarak seandainya mereka mempunyai hubungan mahram dengan sebab nasab seperti adik-beradik, atau dengan sebab susuan seperti saudara sesusuan, atau dengan sebab perkahwinan seperti anak menantu dan sebagainya, selama ianya tidak menimbulkan fitnah. Oleh itu, adalah tidak menjadi kesalahan bagi tuan untuk tinggal bersama dengan menantu perempuan berserta cucu-cucu tuan di rumah tersebut sepeninggalan anak lelaki tuan keluar bekerja.