Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Jabatan Mufti Selangor,
Saya seorang mahasiswa di universiti awam ingin mengajukan soalan tentang hukum minuman fermentasi :
Soalan:
Apakah hukum minuman fermentasi seperti air tuak, kombucha, minuman Bundaberg, kefir dan sebagainya? Hal ini kerana proses fermentasi pada makanan dan minuman kebiasaannya akan menghasilkan alkohol dan ada sesetengah minuman yang tidak mempunyai logo halal.
Terdapat juga sesetengah minuman fermentasi yang boleh dihasilkan sendiri di rumah seperti air tuak dan kombucha. Justeru, bagi minuman ini, agak sukar untuk memastikan kandungan alkohol di dalam minuman tersebut tidak melebihi had yang dibenarkan oleh syarak. Bagaimana pula dengan hukum minuman bagi situasi sebegini?
Jika sesuatu minuman fermentasi itu tidak ada logo halal namun masih boleh diminum kerana kandungan alkohol masih dalam had yang dibenarkan oleh syarak, adakah terdapat garis panduan dalam Islam yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pengguna sebelum meminum minuman tersebut?
Diharapkan pihak mufti boleh bantu menjawab dan menjelaskan hukum minuman fermentasi bagi situasi di atas.
Sekian sahaja daripada saya, kerjasama dari pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
Terima Kasih.
Jawapan
1. Merujuk kepada keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011, menyatakan bahawa :
Oleh itu, alkohol yang terhasil disebabkan proses yang bukan bertujuan untuk menghasilkan arak seperti budu, tapai dan lain-lain adalah tertakluk kepada peratusan yang dinyatakan di atas.
2. Isu air tuak perlu diperhalusi proses pembuatannya. Menurut pengamatan kami, terdapat sedikit perbezaan dalam penghasilan air tuak mengikut negeri-negeri. Air tuak di Kelantan dan Terengganu merujuk kepada air nira kelapa adalah diharuskan kerana alkohol yang terhasil adalah daripada proses semula jadi dan tidak bertujuan memabukkan. Manakala air tuak di Sabah Sarawak adalah merujuk kepada air tuak beras merupakan minuman tradisional masyarakat kaum Iban dan Dayak. Air ini akan dihidangkan perayaan Gawai Dayak, Gawai Hantu, Gawai Burung dan sebagainya. Minimun ini boleh memabukkan dan dihukumkan haram walaupun diminum dengan jumlah yang sedikit.
3. Perkara melibatkan pemakanan perlu diperhalusi proses pembuatannya, kandungannya dan lain-lain. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh:
Maksudnya: Hukum atas sesuatu adalah cabang daripada gambarannya
Rujuk garis panduan yang telah dikeluarkan oleh MKI kerana keputusan yang dikeluarkan adalah hasil daripada kajian yang mendalam melibatkan industri pemakanan serta pakar dalam bidang syariah. Sekiranya tidak ada logo halal dan terdapat keraguan pada status minuman tersebut, maka yang terbaik adalah tidak mengambilnya sebagaimana hadis daripada Ali bin Abi Talib, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu, kepada apa yang tidak meragukan. (Riwayat al-Tirmizi)