Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya pernah berguru dengan almarhum Us Ashaari Muhammad tapi dah tinggalkan semua ajaran dan amalan yang tak betul. Tapi suami saya masih menganggap dia tuan guru dan masih meyakini beberapa ajaran almarhum yang tidak betul seperti meminta tolong kepada roh para wali, saidi syeikh itu imam mahdi dan seumpamanya. Cara dia amalkan poligami pun tak berapa ikut syarak.
Soalannya bolehkah dan wajarkah saya minta cerai atas alasan ini?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada fatwa yang telah diwartakan pada Ogos 1994 di negeri Selangor:
Buku yang bertajuk “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan” yang ditulis oleh ustaz Ashaari Muhammad; dan (b) “Manaqib (Riwayat hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi” yang ditulis oleh Mohamad Taha as-Suhaimi. didapati kedua-dua buku dan manaqib tersebut di atas mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islamiah serta boleh mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Oleh yang demikian kedua-dua buku dan manaqib tersebut adalah diharamkan.
Oleh itu, ajaran al-Arqam yang diasaskan oleh ustaz Ashaari Muhammad hendaklah dijauhkan. Walau bagaimanapun, perincian ajaran yang boleh menyebabkannya jatuh kufur itu perlu diperhalusi kerana ada ajarannya yang boleh menggugurkan akidahnya, dan ada yang tidak.
Benar, ada peruntukan yang membenarkan pihak isteri menuntut fasakh disebabkan keraguan pada akidah. Puan dinasihatkan agar merujuk kepada Pejabat Agama Islam yang berdekatan bagi mendapatkan nasihat yang sewajarnya.