Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya bekerja makan gaji. Pekerjaan saya adalah membuat penyelenggaraan atau servis kepada sistem penghawa dingin di bangunan-bangunan dan kilang-kilang.
Persoalan pertama
1) Apakah hukum nya jika saya membuat penyelenggaraan atau servis penghawa dingin di dalam kilang pembuatan arak yang mana kilang tersebut 100% membuat arak sahaja.
Persoalan kedua
2) Adakah hukum pada persoalan pertama berbeza dengan situasi dimana saya membuat servis penghawa dingin di kedai Speed99 misalnya yang tidak sepenuhnya menjual arak tetapi terdapat barang-barang keperluan yang lain
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
1. Sekiranya syarikat tuan membuat servis aircond untuk kilang arak dan kilang-kilang lain juga, maka terdapat perincian. Jika tuan seorang pengurus syarikat dan mempunyai kuasa untuk menolak tawaran daripada syarikat arak, wajib tuan berbuat demikian iaitu tidak mengambil sebarang tender yang melibatkan kilang arak. Namun, jika tuan adalah seorang pekerja dan tidak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan, harus untuk tuan melaksanakan tugas tersebut walaupun terlibat dengan kilang arak dalam keadaan tidak redha dengan situasi tersebut. Dalam situasi ini, tuan dinasihatkan agar membuat penyucian harta dengan bersedekah sebahagian daripada gaji tuan kepada jalan kebajikan berdasarkan kadar pekerjaan yang dilakukan di kilang tersebut sebagai langkah berhati-hati menjauhkan diri dalam perkara syubhah.
Adapun, sekiranya syarikat tuan hanya membuat servis untuk kilang arak, maka pekerjaan itu adalah haram berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
2. Membuat servis di kedai yang menjual arak sebagai sebahagian kecil daripada jualan kedai tersebut adalah dibenarkan. Kategori ini tidak termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat oleh Allah SWT kerana tidak terlibat secara langsung.