BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Baru-baru ini saya telah dilantik sebagai bendahari untuk unit di tempat kerja saya. Saya ditugaskan untuk mengutip yuran bulanan setiap kakitangan. Akaun bank yang digunakan ialah akaun bank atas nama saya sendiri. Oleh itu, segala duit simpanan saya telah dipindahkan ke akaun bank yang lain, bagi bertujuan mengkhaskan akaun bank tersebut digunakan untuk transaksi keluar masuk wang kutipan tersebut. Persoalannya, bolehkah saya menyimpan wang kutipan unit itu ke tempat pelaburan, dan cukup tahun, hasil dividen itu saya yang ambil tanpa mengambil sedikit pun duit kutipan itu. Contohnya: jumlah kutipan rm2000, saya menyimpan rm1000 di pelaburan ASB. Cukup setahun edaran dividien 5% (rm50) itu saya ambil tanpa mengambil duit yang dilaburkan (rm1000) tersebut. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة

والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi adalah daripada jalan yang mematuhi kehendak Syarak. Sebagaimana  firman Allah SWT  dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.

Dan Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 1: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: Orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat (perjanjian) mereka (yang mereka sepakati). (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kepada persoalan yang tuan ajukan, sebarang penggunaan wang tersebut perlu dilakukan berdasarkan kepada perjanjian atau syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh semua ahli. Penggunaan selain daripada ketetapan yang dipersetujui perlulah mendapat keizinan daripada ahli-ahli. Sekiranya wang tersebut digunakan atau diletakkan di dalam mana-mana akaun pelaburan, ia dianggap sebagai mengambil harta orang lain tanpa hak dan ia perlu dijamin. Iaitu sekiranya wang itu hilang, maka ia wajib diganti. Di samping itu juga, sebarang keuntungan daripada wang tersebut adalah milik ahli-ahli yang menyumbang dan tidak boleh diambil melainkan dengan keizinan mereka. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 81

message user image