Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti.
Saya hendak bertanya tentang najis berat.
Beberapa hari yg lepas, saya makan di sebuah restoran. Apabila hendak masuk ke kereta, saya perasan terdapat najis di laluan bawah pintu kereta saya tempat saya keluar. Najis tersebut kelihatan sudah penyek diyakini sudah dipijak. Jadi saya rasakan saya yang terpijak semasa keluar kereta sebelum itu. Saya juga merasakan najis tersebut najis anjing kerana terdapat banyak anjing di kawasan tersebut.
Hari tersebut agak panas, jadi seingat saya, saya tiada memijak kawasan basah jadi saya rasa tapak kasut saya kering. Dan najis yang penyek tersebut jugak kelihatan kering. Jadi saya beranggapan najis tidak berpindah kerana kering dengan kering. Akan tetapi selepas itu apabila saya melihat semula, terdapat kesan hitam kering di bawah kasut saya. Saya tidak pasti jika itu adalah najis anjing tersebut kerana warnanya agak berlainan. Akan tetapi saya mempunyai OCD dan penyakit waswas yang teruk, menyebabkan saya berasa gelisah tentang kesucian kasut saya. Sehinggakan sedikit pasir di kasut saya pun saya mengganggap itu adalah najis anjing kerana najis anjing yang kering boleh menjadi seperti habuk2. Jadi saya tak pasti sama ada kasut saya bernajis anjing atau tidak.
Saya berfikir untuk menyertukan sahaja kasut saya dengan sabun taharah kerana waswas. Akan tetapi muncul lagi persoalan lain. Apakah hukum kawasan yang sudah dipijak dgn kasut tersebut? Walaupun tiada ain najis, saya risau jika ada najis hukmi kerana tidak pasti samada basah atau tidak. Saya juga ada memijak lantai halaman rumah yg dilalui kasut tadi. Saya juga waswas kerana kaki saya selalu berpeluh jadi bagaimana jika terdapat najis pula berpindah pada tapak kaki saya? Bagaimana selepas itu saya memijak di merata tempat dan memegang kaki saya lalu memegang merata tempat? Bukankan akan menyebarkan najis kemerata tempat?
Jawapan
Sekiranya tuan tidak yakin atau tidak pasti bahawa perkara itu adalah suatu najis, maka dalam hukum fiqh perkara itu dianggap suci dan bukan najis. Hal ini kerana asal bagi sesuatu yang berada di tanah berupa pasir dan sebagainya adalah suci. Kaedah fiqh mengatakan bahawa:
Maksudnya: Hukum asal setiap sesuatu itu adalah suci.
Adapun najis itu adalah perkara yang mendatang dan ia perlu dibuktikan dengan yakin dan bukan sekasar syak atau ragu-ragu.
Untuk menguatkan lagi perkara tersebut, kaedah fiqh ada menyebut:
Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu adalah kekal pada kedudukan asalnya.
Sehubungan itu, jika sekadar andaian atau sangkaan, maka ia tidak boleh menjadikan sesuatu itu bernajis berdasarkan kepada kaedah fiqh:
Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat dihapuskan/ dihilangkan dengan keraguan.
Situasi di mana tuan 'merasakan' bahawa telah terpijak najis anjing itu juga berbalik kepada kaedah asal tadi. Jika tidak yakin bahawa itu adalah najis, anggap saja kasut tuan adalah suci. Yakin berlaku apabila tuan sendiri melihat kaki tuan terpijak najis, atau terdapat bau najis yang kuat daripada kasut tersebut. Selain daripada itu, dianggap tidak pasti dan dihukumkan suci kerana berbalik pada asal. Mudah-mudahan konsep ini dapat membantu tuan menghilangkan waswas tadi.