Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamalaikum Ustaz, saya ingin bertanya. Semalam saya bergaduh dengan isteri. Saya tidak bersetuju untuk membenarkan isteri saya melanjutkan pelajaran atas sebab - sebab yang tertentu.
Kemudian akibat tidak tahan saya melafaz ayat berikut:
“Kalau awak pergi juga melanjutkan pelajaran, kita berpisah”
Adakah jatuh cerai antara kami ustaz? Sebab saya tidak ada niat bercerai ketika itu, sebaliknya niat saya hanyalah untuk menghalang isteri saya dari meninggalkan saya dan anak untuk melanjutkan pelajaran. Mohon pencerahan, terima kasih.
Jawapan
Menjawab persoalan tuan di atas, terdapat dua perkara yang perlu dijelaskan di dalam jawapan ini:
1. Secara keseluruhan lafaz tersebut adalah termasuk dalam cerai secara taklik. Cerai atau talak taklik bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak. Seperti ucapan suami kepada isteri: "Sekiranya engkau keluar rumah, maka tercerailah engkau". Apabila isteri keluar rumah, maka talak berlaku. Ini menyamai lafaz yang tuan ucapkan kepada isteri tuan iaitu: “Kalau awak pergi juga melanjutkan pelajaran, kita berpisah".
2. Namun, lafaz yang tuan ucapkan bersifat kiasan atau lafaz kinayah iaitu "kita berpisah". Lafaz "kita berpisah" ini boleh diertikan dengan pelbagai pengertian, mungkin bermaksud pisah tempat tinggal atau pisah tempat tidur atau mungkin juga bermaksud talak dan sebagainya. Sama ada maksud lafaz itu talak atau bukan, ia bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka talak berlaku, jika tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Kembali kepada lafaz yang tuan ucapkan, seandainya tuan berniat talak, maka lafaz talak taklik tersebut berlaku atau sah. Namun, jika tuan tidak berniat talak, maka lafaz talak taklik itu tidak berlaku atau tidak sah.
Seandainya terdapat pertikaian terhadap lafaz talak taklik yang diucapkan, sah atau tidak sah, berlaku talak atau pun tidak, maka disarankan agar tuan dan puan merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera kerana pengesahan lafaz talak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.