BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera Tuan/Puan. Saya mempunyai beberapa soalan berkenaan dengan bayaran kaffarah (membunuh tanpa niat). Sebagai contoh kemalangan di jalan raya yang menyebabkan kematian.

 

1. Adakah kaffarah sebegini boleh dilakukan dengan memberi makan kepada 60 fakir miskin sekiranya tidak mampu untuk berpuasa 2 bulan berturut-turut.

 

2. Adakah menjadi keutamaan untuk berpuasa 2 bulan berturut- turut sebelum memilih untuk memberi makan 60 fakir miskin atau dibolehkan untuk memilih mana-mana satu. 

 

Saya berharap pihak Tuan/Puan boleh menjawab petanyaan saya. 

 

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Sekiranya kemalangan jalanraya berlaku secara tidak disengajakan serta menyebabkan kematian, maka wajib kepada pemandu yang menyebabkan kemalangan tersebut untuk menunaikan kaffarah bunuh secara tidak sengaja. 

Firman Allah SWT Surah al-Nisa' ayat 92;

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَـًٔا ۚ وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَـًٔا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦٓ إِلَّآ أَن يَصَّدَّقُوا۟ ۚ فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ ۖ  وَإِن كَانَ مِن قَوْمِۭ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَٰقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا ‎

Maksudnya: Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar "diyah" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar "diyah" (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Kaffarah bunuh dengan tidak sengaja adalah mengikut turutan seperti di bawah. 

Sekiranya tidak berkemampuan melaksanakan kaffarah yang pertama, barulah boleh memilih kaffarah yang seterusnya:

  1. Membebaskan seorang hamba yang beragama Islam.
  2. Berpuasa dua (2) bulan berturut-turut.
  3. Memberi makan kepada enam puluh (60) orang fakir miskin dikiaskan kepada Kaffarah Zihar dan berbuka dengan persetubuhan di siang Ramadhan.

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Kaffarah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin hanya boleh dilakukan sekiranya tidak mampu untuk berpuasa selama 2 bulan berturut-turut.

2. Kewajipan untuk berusaha berpuasa selama 2 bulan berturut-turut. Seandainya tidak berkemampuan, maka berpindah kepada memberi makan kepada 60 orang fakir miskin. Adalah tidak diharuskan untuk hanya memilih salah satu daripada keduanya.  

والله أعلم بالصواب

 

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 481

message user image