BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. saya mahu bertanya soalan berkaitan faraid. 

Saya ada 12 beradik, ibu kami tinggalkan sebidang tanah. Ayah sudah lama meninggal.  Sepanjang 10 tahun ibu saya sakit terlantar, saya yang menjaga ibu. Abang saya yg sulong pernah bergaduh dgn ibu bapa kami dulu dan tidak pernah dtg meminta maaf kepada ibu bapa kami. Ibu saya pernah menyebut bahawa, abang sy ni anak derhaka dan jika dia sudah tiada, jgn berikan tanah ibu kepada dia kerana dia telah melarikan bnyk harta arwah ayah sehingga kami sekeluarga tiada wang setelah peninggalan ayah. Soalannya, adakah salah jika kami bahagikan tanah ibu tanpa melibatkan abang sulong mengikut pesanan ibu?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Pembahagian harta mengikut faraid merupakan perintah Allah SWT, ia merupakan hak Allah yang perlu segera ditunaikan sebagaimana firman Allah di dalam surah an-Nisa' ayat 11:

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۚ فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ وَإِنْ كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ ۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِنْ كَانَ لَهُ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Oleh itu, secara umumnya abang sulong masih mempunyai hak dalam harta peninggalan arwah. Pesanan atau wasiat ibu agar tidak memberikan harta peninggalannya kepada abang sulong dan hanya memberikannya kepada adik-beradik yang lain adalah tidak sah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ

Maksudnya: Sessungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris.

Walau bagaimanapun, pemberian wasiat kepada ahli waris boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan daripada semua ahli waris. Namun wasiat ini perlu disahkan terlebih dahulu di mahkamah. Proses pembahagian ini merupakan satu proses panjang yang perlu melibatkan kerjasama semua ahli waris yang masih hidup.

Untuk penjelasan lebih lanjut berkaitan pembahagian harta pusaka puan boleh pergi ke unit yang menguruskan harta pusaka di Pejabat Majlis Agama Islam Negeri yang berdekatan dengan tempat puan tinggal.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 78

message user image