Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Soalan saya :
Semasa kematian ayah dan ibu saya, pihak majikan saya telah beri wang sumbangan termasuk wang sumbangan dari badan kebajikan yang saya sebagai ahlinya.
Adakah wang sumbangan tersebut merupakan harta pusaka yang perlu di faraidkan atau saya boleh gunakan untuk urusan saya memandangkan urusan pengkebumian dan sebagainya menggunakan wang dari sumber lain.
Penjelasan dari pihak tuan amat saya hargai.
Terima kasih.
Jawapan
Harta yang wajib difaraidkan adalah pusaka atau tinggalan si mati yang dimiliki ketika hayatnya. Adapun wang sumbangan atau pampasan yang diberikan selepas kematian, ia tidak menjadi hak si mati kerana orang yang telah mati tidak boleh memiliki harta. Oleh yang demikian, wang tersebut boleh digunakan untuk apa juga keperluan oleh penerima. Dalam perkara ini tuan adalah penerima sumbangan tersebut dari badan kebajikan yang tuan menjadi ahli di dalamnya.