BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz

 

Persoalan berkenaan Zakat Pendapatan.

Salah 1 syarat adalah cukuk Haul 12 bulan qamariyah.

Saya pohon jelaskan maksud cukup haul ini Ustaz. Adakah duit gaji atau pendapatan itu yang sudah cukup hisab harus berada dalam pegangan kita selama 12 bulan tanpa dibelanjakan. Atau, jika duit gaji itu telah dibelanjakan dikira tiada dalam simpanan atau pegangan kita selama 12 bulan. Contoh gaji RM5,000. Jika kita dapat simpan 2,000 dari gaji ini setiap bulan baru dikira cukup haul. Atau, tidak ambil kira jumlah gaji yang kita simpan. Cukup sekadar kira jumlah gaji ditolak segala belanja baru di darab dengan 12 bulan. Adakah ini cara kiraan haul tersebut.

 

Terima kasih Ustaz


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 May 2003 telah membincangkan Zakat Gaji Beserta Kadarnya. Muzakarah telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.

Di negeri Selangor, fatwa berkenaan zakat pendapatan telah diwartakan pada 9hb Mei 2002 bahawa:

(1) Hukum zakat pendapatan adalah wajib ke atas umat Islam.

(2) Semua umat Islam yang tinggal atau bekerja di selangor hendaklah membayar zakat pendapatan kepada Pusat Zakat Selangor.

Zakat pendapatan adalah zakat yang dikenakan terhadap semua jenis pendapatan termasuk upah, imbuhan, bayaran atau hasil yang diperolehi daripada kerja atau usaha yang dilakukan sama ada secara tetap atau sekali sekala yang dihimpunkan jumlahnya pada tahun tersebut bermula daripada awal tahun sehingga akhir tahun. 

Kewajipan untuk membayar zakat pendapatan adalah apabila pendapatan tahunan melebihi jumlah nisab. Sekiranya pendaptan tahunan tidak melebihi nisab, maka tidak menjadi kewajipan untuk membayar zakat pendapatan.

Sila semak nisab semasa negeri Selangor di: https://www.zakatselangor.com.my/info-terkini-nisab-emas-dan-perak/ 

Terdapat dua cara untuk mengira zakat pendapatan seperti berikut:-

1) Pendapatan kasar setahun.

Pendapatan kasar setahun (kerana melebihi nisab) x 2.5% = Zakat yang wajib dibayar.

Contoh pengiraan:

Pendapatan kasar setahun x 2.5%              RM48,000.00

Zakat yang wajib dibayar (setahun)              RM1,200.00

Zakat wajib dibayar BAHAGI 12 bulan           RM100.00

 

2) Pendapatan kasar setahun ditolak perbelanjaan asas. 

(Pendapatan kasar setahun - perbelanjaan asas yang dibenarkan) x 2.5% = Zakat yang wajib dibayar.

Mengikut cara pengiraan yang kedua ini terdapat beberapa perbelanjaan yang dibenarkan untuk ditolak daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Pihak tuan boleh merujuk laman web Lembaga Zakat Selangor iaitu https://www.zakatselangor.com.my/zakat-pendapatan/  untuk makluman dan informasi lanjut termasuk membuat pengiraan kadar zakat yang wajib dikeluarkan melalui perkhidmatan kalkulator zakat yang disediakan. Tuan juga boleh berurusan di kaunter-kaunter zakat yang disediakan di setiap daerah dalam negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 82

message user image