Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualikum.. saya nak tanya,jika seorang ayah tidak cukup wang lalu meminjam duit anak nya,dan duit yang dipinjam itu hendak diganti dengan cara membuat bayaran insurans/hibah atas nama anaknya itu... boleh atau tidak? atau tetap juga kena bayar amount yang di pinjam tu juga?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Adalah diharamkan bagi seorang ayah untuk menggunakan wang anaknya yang masih kecil melainkan sekiranya ayah itu memerlukannya bagi kegunaan kebaikan seperti perbelanjaan rumah atau sebagainya secara makruf tanpa perlu memulangkan atau membayar semula kepada anak. Adapun memulangkan semula wang yang digunakan adalah daripada sifat terpuji dan baik. Walau bagaimanapun, sekiranya seorang ayah menggunakan wang anaknya yang masih kecil bukan secara makruf, maka berkewajipan kepada ayah untuk memulangkan wang tersebut.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, memulangkan semula wang yang dipinjam daripada anak yang masih kecil dengan cara membuat caruman pembayaran takaful (bukan insuran konvensional) untuk anak tersebut adalah diharuskan memandangkan ia adalah suatu kebaikan untuk anak itu sendiri.
Sekian, terima kasih.