BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalam, 

Bagi jemaah Haji lelaki tidak boleh memakai pakaian yang berjahit semasa berpakaian ihram. Sekiranya pakaian dalam lelaki tidak dijahit tetapi digam menggunakan pelekat yang digosok untuk mencantum bahagian pakaian dalam lekaki, apakah hukum memakai pakaian yang digam tetapi bukan dijahit? 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Memakai pakaian seperti baju dan seluar merupakan perkara yang dilarang ketika seseorang berihram sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maksudnya: Dilarang pakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi). (Riwayat al-Bukhari)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa adalah diharamkan memakai atau menggunakan pakaian yang mengikut bentuk badan atau anggota disebabkan oleh ia meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut, sama ada pakaian tersebut (dicantumkan) secara jahitan atau tidak seperti baju, seluar, jubah dan lain-lain. Begitu juga dalam kitab beliau yang lain, disebutkan bahawa tidak ada beza sama ada ia dijahit dengan jarum atau dilekatkan (dicantumkan) antara satu sama lain kerana ia termasuk dalam makna al-Makhid (pakaian yang berjahit).

Oleh sebab itu, pakaian yang digam menggunakan pelekat yang digosok untuk mencantum bahagian pakaian dalam lelaki adalah termasuk di dalam larangan yang disebutkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 214

message user image