Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, ustaz/ustazah
Saya ada seorang abang autistik dan saya sering melihat dia menonton pornografi. Saya hendak tegur tetapi tidak tahu bagaimana tetapi saya risau saya akan jatuh berdosa kerana tidak ambil apa-apa tindakan.
Apa tindakan yang saya boleh buat, dan apakah abang saya akan dihukum di akhirat kelak.
Jawapan
Secara asasnya, orang Islam lelaki dan wanita yang mukallaf adalah diharamkan untuk melihat perkara yang diharamkan seperti melihat aurat orang lain. Di samping ia merupakan perbuatan dosa, melihat aurat orang lain juga akan memberi kesan kepada hati setersunya akan menngganggu kualiti ibadah seseorang.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 30;
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Mukallaf (Islam, berakal dan baligh) merupakan syarat seseorang itu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan. Dengan erti kata yang lain, sekiranya seseorang yang mukallaf mengetahui hukum sesuatu perkara, namun masih melakukan perkara yang bercanggah dengan kehendak agama, maka dia termasuk dalam golongan orang yang berdosa dan akan dibalas kesalahannya di akhirat sekiranya tidak bertaubat.
Autisme adalah gangguan mental yang mula muncul pada peringkat kanak-kanak yang menyebabkan seseorang berkelakuan tidak normal dan sukar berkomunikasi dgn masyarakat. (Kamus Dewan Edisi Keempat). Namun gangguan ini mempunyai tahap-tahap yang berbeza. Sekiranya pesakit masih termasuk dalam golongan mukallaf maka setiap perbuatannya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Adapun jika seseorang mengidap autisme yang sampai kepada tahap terkeluar daripada golongan mukallaf, maka dia tidak dipertanggungjawabkan atau apa yang dia lakukan.
Walau apapun tahap autisme yang dihidapi, sebaiknya puan sedaya-upaya bertindak membantu mengelakkan abang puan daripada terus menonton gambar atau video pornografi dengan teguran dan nasihat yang baik. Sekiranya tidak berkemampuan, puan boleh meminta bantuan orang lain yang lebih sesuai seperti ibu atau ayah untuk memberi nasihat dan teguran kepadanya.