Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Perihal Harta Pusaka
Abang saya meninggal pada 2010 dan meninggalkan seorang isteri dan 3 anak. (2 lelaki 1 perempuan). Emak masih hidup.
Abg saya ada meninggalkan harta boleh alih seperti wang simpanan dan tak boleh alih seperti rumah. Harta boleh alih seperti wang simpanan telah dibahagikan mengikut faraid seperti mana yang ditetapkan untuk emak,ayah serta isteri dan anak2nya. (selesai pada 2012 mengikut jumlah masing-masing)
Bagi harta tak boleh alih adalah seperti rumah. ( Rumah tersebut isteri beliau sebagai pemegang amanah sehingga anak2 arwah berumur 18tahun baru boleh dipindah milik kepada anaknya.) Arwah memiliki 3 unit rumah yang disewakan.
Kemuskilan :
Duit sewa rumah yang terkumpul setelah kematian arwah abang saya pada 2010 hingga 2022 katakan ada rm50,000.00. Duit tersebut saya berikan kepada anak-anaknya dengan sama rata rm16,666.00 seorang baik lelaki dan perempuan dengan persetujuan isteri beliau. Adakah betul cara ini atau sebahagian duit sewa tersebut ada bahagian untuk emak yang masih hidup.
Sekian.terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan kepada penjelasan tuan, rumah tersebut sepertinya sudah dihibahkan oleh abang tuan kepada anak-anaknya dan isteri beliau sebagai pemegang amanah. Adalah sebaiknya tuan memastikan terlebih dahulu status rumah tersebut sama ada diwasiatkan atau dihibahkan kepada anak-anaknya atau tidak. Jika dihadiahkan rumah tersebut untuk anak-anaknya itu, maka ia menjadi milik anak-anak abang tuan dan isteri beliau menjadi pemegang amanah sehingga anak-anak tersebut berumur 18 tahun. Jadi, hasil sewa rumah yang terkumpul adalah milik anak-anak abang tuan yang diamanahkan untuk diuruskan oleh isteri abang tuan (kakak ipar tuan) mengikut persetujuan mereka.
Namun begitu, jika sebaliknya iaitu tanah itu tidak dihibahkan kepada anak-anak, rumah tersebut dikira sebagai harta peninggalan arwah yang mesti difaraidkan begitu juga hasil yang diperolehi mengikut apa yang ditetapkan syarak.