Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya mempunyai hutang berjadual dan tidak berjadual dengan pihak bank dan orang perseorangan. Niat untuk membayar segala hutang selalu ada, tetapi duit gaji selalu tidak mencukupi untuk perbelanjaan seisi rumah. Adakah saya wajib menjual aset tanah yang disimpan terbiar bagi menyelesaikan segala hutang atau mengusahakan tanah tersebut bagi membayar hutang sedikit demi sedikit. Saya memohon pencerahan dari segi syariat islam berhubung perkara hutang ini yang telah membelenggu pemikiran saya setelah sekian lama.
Jawapan
Niat tuan untuk membayar semula hutang adalah baik. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah akan tunaikan untuknya. Dan sesiapa yang mengambilnya untuk tujuan tidak melunasinya, maka Allah akan membinasakannya. (Riwayat al-Bukhari)
Tuan tidak wajib untuk menjual aset tanah jika itu adalah satu-satunya harta pusaka yang ada untuk peninggalan anak-anak. Namun, jika tuan usahakan tanah tersebut dan hasilnya untuk membayar hutang juga satu pilihan yang baik. Bermakna, lambat laun hutang juga terlunas dan tanah juga masih ada. Jika tidak mampu untuk mengusahakannya, tanah tersebut boleh disewakan untuk tempoh tertentu. Hasil sewaan boleh diguna untuk membayar hutang dan kegunaan keperluan keluarga.
Walau bagaimanapun, tuan disyorkan untuk merujuk institusi kewangan yang bertauliah untuk sebarang khidmat nasihat pengurusan kewangan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk maklumat selanjutnya. Semoga mereka dapat membantu dan ada jalan penyelesaian yang terbaik dalam pengurusan hutang.
Rujukan laman web AKPK: https://www.akpk.org.my/ms/contact-us