Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Apakah hukum pasangan suami-isteri menyewa bilik di kawasan bandar kerana kekangan kewangan? Bilik lain disewa oleh orang lain yang tiada pertalian darah dan mungkin terpaksa berkongsi bilik air dgn penyewa lain.
Apakah dosa kepada mereka?
Apakah sepatutnya dilakukan oleh komuniti penduduk, pihak berwajib dan pemimpin setempat sekiranya ada kes seperti ini?
Apakah perlu dilakukan oleh pasangan tersebut sekiranya memang betul-betul tak mampu menyewa sebuah rumah di bandar?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, dibolehkan dan tidak berdosa sekiranya pasangan suami isteri tersebut terpaksa menyewa di rumah yang berkongsi dengan penyewa lain disebabkan kekangan kewangan. Walau bagaimanapun, perlu dipastikan agar di rumah tersebut mempunyai penghadang seperti bilik atau tingkat bawah/atas dan boleh menghilangkan kemungkinan khalwat kerana dibimbangi akan menimbulkan fitnah. Selain itu, adalah menjadi kewajipan kepada kesemua penyewa untuk menjaga batasan aurat dan pergaulan.
Walau bagaimanapun, perkara tersebut hendaklah sebolehnya dielakkan dan berusaha untuk menyewa di tempat yang tidak berkongsi dengan pasangan lain supaya tidak menimbulkan syak wasangka dan fitnah.
Tambahan pula, semua pihak sama ada komuniti penduduk, pihak berwajib dan pemimpin setempat perlu lebih cakna mengenai perkara ini dan memberi penyelesaian agar mana-mana pasangan yang tidak berkemampuan diberi kemudahan penempatan sementara dengan kadar sewa yang minimum.