Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/Ustazah....saya dijaga oleh 2 org mak saudara sejak kecik,dan salah seorng dr mak saudara tu juga menjadi mak angkat saya.kedua2 mak saudara saya ni tak berkahwin dan tidak mempunyai anak.namun masih mempunyai adik beradik kandung yang punya kehidupan masing2 termasuk mak kandung saya.3 tahun lepas,mak saudara yg menjaga saya meninggal dunia dan telah meninggalkan satu surat wasiat yg mengatakan semua hartanya di serahkan kepada saya .bersamaan surat wasiat tersebut,terdapat satu surat persetujuan adik beradik arwah yg lain mengenai harta wasiat tersebut.dan sehingga hari ini,sya menggunakan harta itu sebaiknya.kerisauan sya mengenai status harta yg di wasiatkan ini....apa ianya benar2 halal utk sya dan anak2 sya.malah,mak angkat sya juga pernah berkata yg beliau juga akan melakukan hal yg sama berkenaan harta peninggalan nya kelak.sya pernah bertanya kalau dia mahu memberi hartanya kepada adik beradik nya yg masih hidup,tp,beliau menegaskan yg hartanya hanya akan dberikan kepada sya,Dan beliau mengharamkan utk dberi selain dr sya....bantu pencerahannya Ustaz Ustazah...sya merasa risau dan merasa tidak layak utk semua pemberian ini....terima kasih Ustaz Ustazah...
Jawapan
Berdasarkan kepada persoalan saudari, sebagai anak angkat, saudari tidak boleh mewarisi secara faraid bahagian ibu angkat. Saudari hanya boleh menerima hibah dan juga wasiat. Adapun wasiat, saudari tidak boleh menerima keseluruhan harta yang ada, hanya 1/3 sahaja daripada harta peninggalan tersebut. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Sa’ad Bin Abu Waqqas RA, katanya:
عَادَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ، مِنْ وَجَعٍ أَشْفَيْتُ مِنْهُ عَلَى المَوْتِ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، بَلَغَ بِي مِنَ الوَجَعِ مَا تَرَى، وَأَنَا ذُو مَالٍ، وَلاَ يَرِثُنِي إِلَّا ابْنَةٌ لِي وَاحِدَةٌ، أَفَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثَيْ مَالِي؟ قَالَ: «لاَ» قُلْتُ: أَفَأَتَصَدَّقُ بِشَطْرِهِ؟ قَالَ: «لاَ». قُلْتُ: فَالثُّلُثِ؟، قَالَ: «وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، إِنَّكَ أَنْ تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ، خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ، وَلَسْتَ تُنْفِقُ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ بِهَا، حَتَّى اللُّقْمَةَ تَجْعَلُهَا فِي فِي امْرَأَتِكَ
Maksudnya: Rasulullah SAW menziarahiku ketika Haji Wada', ketika aku sedang sakit tenat hampir mati. aku berkata: "Wahai Rasulullah, aku kini tenat dan aku seorang yang berharta, sedangkan aku tiada waris kecuali seorang anak perempuan. apakah aku boleh bersedekah dua pertika hartaku?". Baginda menjawab: "Tidak". Aku bertanya: "Apakah aku boleh bersedekah separuh hartaku?". Baginda menjawab: "Tidak, satu pertiga sahaja, satu pertiga pun sudah banyak. Sekiranya kamu meninggalkan waris kamu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada kamu tinggal mereka dalam keadaan miskin meminta-minta daripada orang ramai. Segala perbelanjaan yang kamu keluarkan semata-mata untuk keredhaan Allah, nescaya kamu akan mendapat ganjarannya, termasuklah sesuap nasi yang kamu suapkan ke mulut isterimu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bermakna, harta peninggalan simati digunakan untuk mengurus hutang-hutang arwah (jika ada), membayarkan fidyah dan zakat (jika tertunggak), membuatkan badal haji (jika semasa hidupnya mampu dan belum sempat menunaikan haji) dan seumpamanya. Kemudian, harta selebihnya barulah diurus mengikut faraid kepada ahli warisnya yang masih hidup termasuklah melaksanakan wasiatnya (1/3 daripada baki harta yang ada).
Walau bagaimanapun, jika terdapat persetujuan yang sahih daripada ahli waris yang lain untuk menyerahkan bahagian yang layak mereka terima kepada saudari, maka saudari berhak untuk menerimanya. Melainkan sekiranya arwah atau makcik yang lain menghibahkan atau menghadiahkan apa-apa harta kepada saudari semasa hayat mereka, maka harta tersebut akan menjadi milik saudari tanpa terikat dengan syarat wasiat seperti yang dinyatakan.
Justeru, jika arwah dan saudari menetap di Miri Sawarak, sebarang kemusykilan dan pertanyaan lanjut boleh hubungi Tabung Baitulmal Sarawak seperti alamat berikut semoga mereka dapat membantu:
Cawangan Miri:
Lot 3514, Al-Bayt Square Jalan Pujut 98000 Miri
Phone No. : 085-326791 / 085-326792
Fax No. : 085-326793
Laman web Tabung Baitulmal Sarawak:
https://www.tbs.org.my/www/?
Melainkan sekiranya arwah atau makcik yang lain menghibahkan atau menghadiahkan apa-apa harta kepada saudari semasa hayat mereka, maka harta tersebut akan menjadi milik saudari tanpa terikat dengan syarat wasiat seperti yang dinyatakan di atas.