Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT.
Tuan,
Ibu & ayah saya telah bercerai lama. Ayah saya juga telah berkahwin lain & tinggal di tempat lain bersama isteri baru beliau. Walaubagaimanapun, kami anak-anak masih berhubung dengan ayah & tidak memutuskan ikatan silaturrahim walaupun ayah telah berpisah/bercerai dengan ibu. Kami anak-anak semua telah besar semua telah melebihi 25 tahun keatas.
Baru-baru ini ayah sakit dan meminta bantuan anak yg masih bujang (saya & adik saya) untuk bergilir-gilir menjaga beliau dihari minggu. Ayah tidak mahu menggangu adik beradik lain atas alasan mereka sudah berkeluarga. Saya dan adik saya sudah bekerja & masih menetap bersama ibu saya manakala adik beradik yg lain yg telah berkahwin serta tinggal dirumah mereka sendiri. Diatas beberapa faktor seperti rumah ibu yg jauh dengan rumah ayah (pergi balik dalam +-120km), komitmen bekerja dihari minggu yg tidak menentu, kekangan kenderaan iaitu kami hanya ada motorsikal shj jika mahu berulang-alik hujung minggu untuk menjaga & pergi ke rumah ayah.
Disebabkan saya & adik tidak dapat memberikan komitmen untuk menjenguk & menjaga ayah pada hujung minggu itu, dia marah dan berkecil hati. Sikap ayah sebelum ini yg panas baran, pernah memukul ibu, suka memaki hamun, merasakan diri beliau shj yg betul, pernah mengabaikan tanggungjawab kpd anak-anak, membuatkan kami trauma & terkesan sehingga kami dewasa. Itu juga salah satu faktor kami berat untuk menjenguk & menjaga ayah selain daripada faktor-faktor diatas. Kami masih sayangkan ayah walaupun kami trauma. Saya & adik saya risau jika kami digelar anak derhaka dan sebagainya sebab tidak memenuhi kehendak ayah utk dtg menjenguk & menjaga beliau.
Oleh itu, saya ingin memohon jasa baik pandangan serta pencerahan pihak tuan, adakah bila ayah telah bercerai dengan ibu, tanggungjawab anak-anak kepada ayah juga telah terputus? Apakah hukumnya jika saya & adik saya tidak menuruti arahan ayah itu walaupun ayah telah bercerai dengan ibu saya? Adakah kami wajib mendengar arahan & perintah daripada ayah walaupun dia telah bercerai dengan ibu? Adakah kami berdosa & dikategorikan sebagai anak derhaka? Mohon pandangan & pencerahan tuan.
Kemudian, jika saya ingin berkahwin, adakah ayah saya wajib utk menjadi wali? Kerana saya mempunyai 2 orang abang.
Maklum balas jawapan, pandangan & pencerahan pihak tuan amat saya harapkan. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Hubungan Anak dengan Ayah yang telah Bercerai dengan Ibu.
Hubungan seorang anak dengan ibu bapanya kekal dan tidak akan terpisah walaupun setelah berlaku perceraian kerana hubungan mereka adalah hubungan nasab atau pertalian darah yang tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, seorang anak adalah tertakluk kepada hukum-hakam tanggungjawab seorang anak kepada bapanya seperti orang lain seperti mentaati bapanya selagi mana dia tidak menyuruh berbuat perkara maksiat, serta berbuat baik kepada mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 23:
Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Hah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Walau bagaimanapun, mentaati seorang ayah bukanlah bersifat mutlak. Ia juga perlu dinilai dari sudut rasionalisasi arahan tersebut serta kemampuan kita untuk menunaikannya. Masih menjadi tanggungjawab seorang anak untuk menjaga kebajikan seorang ayah, walaupun kisah silam menjadikan kita berat untuk berbakti, ketahuilah bahawa semakin besar cabaran dalam berbakti itu, semakin bertambah ganjaran dari Allah SWT.
Seorang bapa adalah wali untuk anak perempuannya walaupun dia telah bercerai dengan ibu anak perempuan tersebut. Wali hanya akan berpindah kepada adik-beradik lelaki jika b apanya meninggal dunia. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan tuan/puan sekeluarga.