Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assamualaikum..saya nak tanya apakah hukum mengugurkan kandungan untuk menjarak kan anak di usia bawah 120 hari mengikut islam?
sekiranya perbuatan tersebut berdosa besar ,bagaimana cara untuk menebus dosa itu?Adakah Allah akan ampunkan dosa tersebut setelah bertaubat dan menyesal akan dosa itu?sekian terima kasih
Jawapan
Hukum menggugurkan kandungan tanpa sebab yang dibenarkan syarak adalah haram dan berdosa walau berapa pun usia kandungan tersebut. Menggugurkan kandungan sebagai cara untuk menjarakkan anak adalah cara yang salah. Banyak kaedah lain yang boleh digunakan untuk menjarakkan kelahiran anak. Boleh rujuk kepada pihak klinik atau hospital untuk tujuan tersebut.
Bertaubat kepada Allah SWT adalah cara untuk menebus kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh manusia. Taubatlah dengan sebenar-benar taubat, iaitu dengan menyesali perbuatan yang dilakukan, meninggalkan perbuatan tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Firman Allah SWT dalam surah Ali'Imran ayat 135:
وَٱلَّذِینَ إِذَا فَعَلُوا۟ فَـٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوۤا۟ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُوا۟ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُوا۟ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن یَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ یُصِرُّوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلُوا۟ وَهُمۡ یَعۡلَمُونَ
Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 153:
Maksudnya: Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.