BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, disini saya ingin bertanya berkenaan wang yang asalnya dari sumber yang tidak baik ketika saya buat kerja servis topup, melalui bank akaun wang tu masuk. Tapi sebelum tu saya tak tahu wang tu tujuannya dari benda yang tidak baik. Ketika saya sudah dapat tahu status duit itu, ada lagi duit dari sumber yang sama masih masuk ke dalam bank akaun saya. Jadi saya was-was untuk jadikan duit itu sebagai wang derma, kalau tak boleh untuk derma, apa yang saya boleh lakukan? Bolehkah saya guna wnang itu sebagai wang harian walaupun bukan wang saya? Wang tu dah 3 tahun duduk dalam bank akaun saya, nak pulangkan balik ke orang yang sebelumnya, saya tak mahir.. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

 الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد 

Dalam Islam sememangnya umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang mematuhi kehendak Syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ 

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.

Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

إن الحلال بين، وإن الحرام بين، وبينهما مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس، فمن اتقى الشبهات، استبرأ لدينه وعرضه

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhah) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya".  (Riwayat Bukhari)

Dalam kes tuan, tiada masalah sekiranya pada awalnya tidak mengetahui status duit tersebut dan selepas mengetahuinya adalah lebih baik harta tersebut diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri (BaitulMal) atau kepada orang persendirian yang dirasakan layak menerima bagi manfaat umum. Ini merujuk kepada fatwa negeri Selangor yang telah dikeluarkan bagi maksud harta syubhah: Hukum Perlaksanaan Penyaluran Wang Syubhah Ke Baitulmal Mais yang telah diwartakan pada 31 Mac 2011 seperti di pautan berikut:

https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-tahunan/pewartaan/2010-2016/199-hukum-perlaksanaan-penyaluran-wang-syubhah-ke-baitulmal-mais

Juga merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 158

message user image