Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t, Ustaz/Ustazah
Adakah boleh menulis kalimah Allah dalam tulisan arab pada makanan seperti kek, kuih dan lain-lain. Jika sudah tertulis pada makanan, apa yang harus dilakukan pada makanan itu?
Mohon pencerahan & pandangan. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan soalan tuan, kalimah Allah merupakan kalimah suci. Bagi memelihara akidah umat Islam, kalimah suci Islam adalah khusus bagi agama Islam dan orang Islam sahaja. Oleh itu, kalimah suci Islam tidak boleh disalahgunakan atau disamakan dengan perkataan yang digunakan dalam agama bukan Islam. Orang Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam perkara ini.
Oleh itu, adalah dilarang menggunakan nama Allah pada tempat yang tidak sepatutnya. Berdasarkan persoalan di atas, adalah tidak harus untuk menulis kalimah Allah pada makanan seperti kek, kuih dan sebagainya, kerana ianya perbuatan yang merendah serta meremehkan nama Allah SWT. Selain itu, kalimah Allah mempunyai kedudukan yang tertinggi kerana sifat kemuliaannya. Sekiranya kek itu masih ada, hilangkan nama Allah yang ada padanya dan kek itu boleh dimakan. Pembuat kek atau kuih tersebut hendaklah berazam tidak akan mengulanginya lagi kerana menulis kalimah Allah pada tempat yang bukan sepatutnya adalah tidak dibenarkan dalam Islam untuk menjaga kesucian martabatnya
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Taubah ayat 65:
Maksudnya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"