Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.Saya mempunyai 3 soalan
Jawapan
Bagi menjawab soalan pertama, kedua dan ketiga, kami rangkumkan dengan keterangan berikut :
Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa ayat 24 :
Maksudnya: Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian.
Ayat di atas turun setelah menjelaskan wanita-wanita yang haram dinikahi. Oleh itu hukum selain wanita yang telah disebutkan itu adalah halal untuk dinikahi, termasuk wanita yang berzina.
Dalam syarat pengantin lelaki dan pengantin perempuan tidak dinyatakan mesti bertaubat untuk memastikan perkahwinannya sah. Namun para ulama’ telah bersepakat bahawa zina adalah dosa besar yang wajib dijauhi. Zina juga mengundang kemurkaan Allah sehingga diwajibkan ke atasnya hukuman tertentu iaitu bertujuan untuk memberatkan penzina tersebut ke atas dosa yang mereka dilakukan.
Persoalan berkaitan solat pula, pasangan yang tidak solat atau solatnya tidak lengkap 5 waktu, pernikahan mereka adalah sah, namun pasangan wajib bertaubat di atas tindakan meninggalkan solat, kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa ayat 103 :
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
Ayat di atas merupakan salah satu dalil kefarduan solat ke atas umat Islam seluruhnya. Solat menjadi zimmah atau tanggungjawab ke atas orang Muslim sehinggalah dia menunaikannya melainkan wujudnya uzur syar’ie yang menggugurkan kewajipan atau meringankannya, maka barangsiapa yang meninggalkannya disebabkan keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka hendaklah dia menggantikannya sebaik sahaja tersedar ataupun terjaga. Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja yakni kerana mengingkari kewajipannya, maka kafirlah dia dan terkeluar daripada agama Islam yakni murtad. Manakala bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, maka dia mendapat dosa dan hendaklah dia mengqadhakannya atau menggantikannya semula.
Sekiranya tindakan mereka melakukan zina dan meninggalkan solat bukan dengan sebab menafikan atau menghalalkan apa yang Allah SWT haramkan atau dengan sebab mengingkari apa yang Allah telah wajibkan, maka tidaklah ia menyebab seseorang muslim itu terkeluar Islam atau murtad. Sekiranya tidak termasuk dalam kategori murtad, maka nikahnya tetap sah dan tidak perlu nikah semula.
Walau bagaimanapun, sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam, pasangan tersebut hendaklah benar-benar bertaubat dengan taubat nasuha, selagi nyawa masih belum ditarik oleh Allah SWT agar kehidupan mereka pada masa akan datang lebih diberkati dan diredhai Allah SWT.
Hal ini juga bertepatan dengan hadis Nabi SAW:
Yang bermaksud: Seseorang yang telah bertaubat daripada dosa itu layaknya diumpamakan seperti tidak ada dosa padanya. (Riwayat Ibnu Majah)