Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.r
Saya di hantui dengan dosa lampau.Setiap hari saya sik fikir adakah dosa saya diampunkan Allah .Saya telah buat solat taubat tp adakah alla tidak ampunkan dosa saya ,sebab saya tidak tenang dan takut akan azab Allah setiap kalai teringat akan dosa itu..dosa yang menghantui saya ialah saya saya telah gugurkan kandungan sebanyak dua kali sebab tidak mahu anak
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Menggugurkan kandungan tanpa sebab yang dibenarkan syarak adalah haram dan berdosa walau berapa pun usia kandungan tersebut. Menggugurkan kandungan sebagai cara untuk menjarakkan anak adalah cara yang salah. Banyak kaedah lain yang boleh digunakan untuk menjarakkan kelahiran anak. Boleh rujuk kepada pihak klinik atau hospital untuk tujuan tersebut.
Bertaubat kepada Allah SWT adalah cara untuk menebus kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh manusia. Taubatlah dengan sebenar-benar taubat, iaitu dengan menyesali perbuatan yang dilakukan, meninggalkan perbuatan tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Firman Allah SWT dalam surah Ali-'Imran ayat 135:
Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 153:
Maksudnya: Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dosa dan pahala merupakan sebahagian daripada ujian kehidupan bagi setiap orang yang beriman agar sentiasa bermuhasabah dan menginsafi diri demi untuk meraih kebaikan dalam kehidupan di akhirat. Ini sesuai dengan matlamat utama penciptaan manusia di dunia ini iaitu untuk diuji sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 2:
Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).
Dibayangi dosa lampau merupakan suatu perkara yang baik agar ia menjadi peringatan kepada kita agar tidak kembali melakukan kesilapan yang sama, namun jika keterlaluan dalam mengingati dosa-dosa lama hingga menyebabkan seseorang itu tidak boleh menjalani kehidupan dengan normal juga bukan sesuatu yang baik. Teruskan bertaubat dan mohonlah keampunan dari Allah SWT atas kesalahan yang telah dilakukan. Semoga Allah mengampuni dosa hamba-hamba-Nya yang ikhlas dalam memohon keampunan, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Sekian, terima kasih.