Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya berkaitan perkara/situasi berikut:
Saya mempunyai adik ipar kategori OKU (down syndrome). Umurnya sekarang dalam 40an dan dijaga oleh abang ipar saya (mereka adalah adik beradik). Setelah kematian mentua, adik ipar ni menerima pencen terbitan arwah ibunya tadi. Oleh kerana adik ni tidak pandai menguruskan akaun sendiri, maka satu akaun telah dibuka atas nama abang ipar (saya tak pasti adakah akaun bersama atau mcm mana). Betul atau tidak jika saya katakan abang ipar ni merupakan pemegang amanah ke atas akaun (duit pencen terbitan tersebut) ustaz? Bolehkah sekiranya duit itu digunakan oleh abang ipar saya untuk kegunaan dia dalam menyara keluarga dan sebagainya? Boleh ustaz huraikan atau jelaskan pengurusan amanah ini sepatutnya diuruskan.
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتهالحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعدSemoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan. Dalam hal ini, abang ipar puan layak dikira sebagai pemegang amanah. Sebagai pemengang amanah beliau perlu memastikan agar tidak menggunakan duit pencen terbitan tersebut kecuali untuk keperluan adiknya yang OKU, bahkan duit tersebut juga tidak boleh dimanfaatkan untuk dirinya atau keluarganya. Tanggungjawab pemegang amanah adalah menguruskan harta yang diamanahkan berdasarkan hukum serta syarat yang telah ditetapkan. والله أعلم بالصواب
|