BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz .. saya ingin bertanya, saya anak angkat lelaki tunggal tiada adik beradik lain, dan mak angkat saya sudah mewasiatkan harta rumah atas nama saya.. dan sekarang adakah mak  saya perlu membuat hibah ? Adakah dengan mewasiatkan sahaja adik beradik sebelah mak atau ayah tidak boleh tuntut .. beri penjelasan ye ustaz . Terima kasih .. assalamualaikum wbt ..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan; secara asasnya anak angkat tidak termasuk sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkatnya mengikut hukum faraid. Hal ini kerana anak angkat tidak mempunyai sebarang hubungan pertalian darah secara syarak. Antara langkah awal ibu bapa mempunyai pilihan untuk menggunakan instrumen pengurusan harta lain seperti wasiat dan hibah untuk mewariskan harta kepada anak angkat atas dasar kasih sayang.

Berbalik kepada persoalan tuan, perlu difahami perbezaan antara wasiat dan hibah. Setiap instrumen ini membawa kesan yang berbeza.

  • Wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat dan terhad pada kadar 1/3 daripada harta bersih peninggalan selepas ditolak perbelanjaan pengebumian dan hutang. Wasiat ini berkuatkuasa selepas kematian.
  • Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah dan tiada had tertentu untuk seorang pemilik harta memberikan hartanya.

Dalam kes ini, jika wasiat dilakukan terhadap rumah ibu angkat, hanya 1/3 bahagian sahaja rumah tersebut merupakan bahagian anak angkat. Manakala, lebihan harta akan termasuk dalam harta faraid dan adik beradik ibu angkat yang masih hidup merupakan waris yang layak untuk mendapat faraid tersebut kerana ketiadaan anak.

Oleh itu, bagi ibu angkat yang ingin menyerahkan sepenuhnya rumah tersebut kepada anak angkat, hibah ialah instrumen yang lebih sesuai. Dinasihatkan agar merujuk peguam syarie atau agensi syarikat amanah yang berautoriti dalam pengurusan harta untuk membuat dokumentasi mengikut prosedur dan petunjuk yang ditetapkan oleh syariat Islam.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 105

message user image