BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt. Kepada kakitangan pejabat mufti yang saya kasihi. 

Saya mempunyai soalan berkait keadaan di bawah.

Satu pihak menganjurkan pertandingan kepada beberapa buah sekolah dibawah pentadbirannya. Setiap murid yang ada di sekolah terbabit perlu membuat pembayaran kepada pihak penganjur tidak terhad kepada murid yang terlibat di dalam pertandingan sahaja. Bayaran tersebut diambil daripada yuran kokorikulum @ yuran lain2 yang telah dibayar pelajar-pelajar tersebut ketika mereka membuat pendaftaran masuk awal tahun. 

Sebagai contoh, setiap murid perlu membuat bayaran RM5.00. Sekolah A mempunyai keseluruhan murid seramai 250 orang, maka bayaran yang perlu dibuat adalah 250 x Rm 5 = Rm 1,250. Sekolah B mempunyai murid seramai 500 orang, pembayaran yang perlu dibuat adalah 500 x Rm 5 = Rm 2,500 dan begitulah seterusnya pembayaran yang wajib dibuat untuk semua sekolah dibawah pentadbiran penganjur. 

Soalan:

1. Apakah hukum keadaan di atas ?

2. Andai dibolehkan atas faktor ia adalah wang pengurusan, adakah pembelian hadiah kepada pemenang dikira juga sebagai pengurusan ?

3. Saya melihat berlaku ketidakadilan kepada pelajar-pelajar yang tidak turut serta di dalam pertandingan, sedangkan mereka langsung tidak terlibat dalam pertandingan dan sepatutnya wang itu boleh digunakan untuk program-program yang lebih bermanfaat kepada pelajar. Minta pandangan adakah pendapat saya ini benar atau tidak ? 

Terima Kasih Kepada Pihak Mufti. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan:

1. Pada asasnya, mengenakan bayaran/ yuran bagi menganjuran sesuatu pertandingan adalah diharuskan selama bayaran tersebut digunakan untuk pengurusan perjalanan pertandingan dan tidak digunakan sebagai wang pertaruhan atau hadiah kepada pemenang. Adapun jumlah bayaran yang dikenakan ia adalah berdasarkan kepada persetujuan pihak-pihak, walaupun terdapat perbezaan jumlah bayaran antara peserta.

2. Sebagaimana yang dinyatakan, bayaran/ yuran yang dikenakan tidak boleh dijadikan hadiah atau digunakan untuk membeli hadiah kepada pemenang pertandingan tersebut. Ini kerana ia mengandungi unsur perjudian. Hadiah hendaklah disediakan dari sumber kewangan yang lain.

3. Dari satu sudut, pandangan tuan ada kebenarannya. Walau bagaimanapun dari sudut yang lain, penyertaan sebahagian pelajar itu pada hakikatnya mereka membawa nama sekolah dan mewakili setiap pelajar.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 179

message user image