Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu alaikum. Tuan/Puan.
Untuk pengenalan, Syarikat kami menyediakan perkhidmatan dan menjual bingkai islamik seperti Allah Muhammad, ayatul kursi, ayat 1000 dinar. Dalam beberapa bulan yang lalu, ada individu telah mengambil rekaan bingkai 'design' kami , dan telah menciplak karya kami, bawa ke negara china, copy design kami dan jual secara meluas di sini. Walaupun Design kami belum di 'pattern' kan lagi, adakah wajar tindakan individu yang menciplak design kami dan menjual untuk keuntungan sendiri.
Soalan saya,
Apakah hukum terhadap orang yang telah menciplak design saya?
Apakah hukum terhadap orang yang menjual design ciplak saya?
Apakah hukum terhadap orang yang membeli design ciplak saya?
Terima Kasih Tuan/Puan
Jawapan
Dalam Islam sememangnya umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang mematuhi kehendak Syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.
Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat Bukhari)
Larangan mencuri hasil kerja orang lain atau ciplak adalah bertepatan dengan Maqasid atau objektif Syariah itu sendiri bagi tujuan memelihara Akal (Hifz al-‘Aql) dan Harta (Hifz al-Mal). Dalam konteks memelihara Akal, Perundangan Islam dengan jelas memberi pengiktirafan secara individu kepada sesiapa yang mengahasilkan sesuatu idea, penemuan atau ilmu yang bermanfaat untuk umat.
Namun adalah sebaiknya segala bentuk karya dan paten didaftarkan bagi mengelakkan ianya diciplak sebagaimana kes tuan. Tambahan lagi dunia tiada sempadan dan di hujung jari memungkinkan aktiviti ini berleluasa. Dalam undang-undang di Malaysia, sememangnya karya atau hasil yang tidak dipatenkan sememangnya tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan. Sebaiknya juga pihak tuan merujuk dengan pihak berkuasa yang memantau perkara ini.
Hukum-hukum berkaitan yang dipersoalkan secara umumnya Islam tidak membenarkan dan berjual beli daripadanya juga adalah haram.
Tidak berdosa jika yang membelinya tidak tahu