Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan.
Semoga kita semua dirahmati Allah SWT.
Apakah hukum Solat Jumaat sekiranya Khatib tidak membaca ayat Quran dalam Khutbah?
Perkara ini hanya dimaklumkan kepada pihak AJK selepas beberapa hari kemudian.
Adakah pihak AJK perlu membuat pengumuman kepada ahli kariah sekiranya Solat Jumaat tersebut tidak sah?
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, membaca ayat al-Quran semasa berkhutbah adalah salah satu rukun khutbah. Syarat sah bagi solat Jumaat hendaklah seorang khatib memenuhi rukun khutbah. Sekiranya imam terlupa atau sengaja tidak membaca ayat al-Quran semasa menyampaikan khutbah, maka hendaklah mengingatkan dan menegurnya. Namun jika imam masih tidak mengingatinya atau enggan, maka para jemaah tidak boleh mengikut imam tersebut kerana sudah diketahui bahawa solat Jumaat yang akan didirikan tidak sah kerana tidak cukup syarat.
Dalam situasi seperti ini, para jemaah hendaklah mendirikan solat Zohor. Begitu juga, jika solat Jumaat tersebut sudah pun dilaksanakan, maka para jemaah hendaklah mengulang kembali solat Zohor juga kerana solat Jumaat tersebut tidak sah kerana tidak mencukupi syarat.
Adalah menjadi kewajipan setiap masjid di negeri Selangor untuk menggunakan teks khutbah yang disediakan bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada berlaku.
والله أعلم بالصواب