Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bab Kurban.
Pejabat MB telah memberi surau kami 1 ekor lembu kurban.
Antara syaratnya bahagian lembu ini tidak boleh dijual dan hendaklah diletak nama asnaf,fakir sebagai peserta kurban.
Soalan, bolehkah AJK & Iman diletakan sebagai nama peserta kurban lembu tersebut?
Sekian. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Pemberian daripada Menteri Besar, individu atau organisasi adalah berdasarkan kepada syarat penyumbang, dan pihak penerima wajib melaksanakan amanah tersebut sebagaimana ia disyaratkan melainkan pemberi atau penyumbang bersetuju dengan sebarang perubahan yang dibuat oleh pihak penerima. Dalam kes ini, lembu yang diberikan oleh Menteri Besar adalah dengan syarat meletakkan nama fakir sebagai peserta korban. Oleh itu, meletakkan nama selain dari orang yang fakir adalah melanggar syarat dan ia dibimbangi berlaku khianat terhadap amanah yang diberikan. Sebaiknya patuhilah syarat yang telah ditetapkan oleh penyumbang dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan. Diharuskan meletakkan nama AJK atau Imam sekiranya mereka tergolong dalam kalangan fakir miskin. Jika tidak, maka tidak diharuskan berdasarkan syarat yang dinyatakan.
Sekian, terima kasih.