Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan, saya seorang lelaki berumur 25 tahun dan berhajat untuk menikahi kekasih saya. Kami pernah terlanjur dan kini saya ingin membetulkan khilaf saya dengan ingin menikahi kekasih saya. Ibu tiri (ayah dan ibu sudah meninggal) saya tidak membenarkan saya berkahwin dengan kekasih saya kerana percaya saya telah diguna-gunakan (sihir pengasih) oleh mak kekasih saya tanpa bukti yang jelas. Sekiranya sayaa tetap ingin berkahwin, adakah tindakan saya ini akan diredhai tuhan kerana tujuan saya bukanlah untuk menderhaka dan melukakan hati ibu tiri saya tetapi untuk memberi keadilan kepada kami semua. Mohon bantu saya tuan, saya sudah mati akal. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, pertamanya saudara hendaklah bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat. Keduanya, mengambil tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan dengan bernikah dengan perempuan tersebut. Semoga Allah SWT memudahkan tindakan saudara. Permohonan perkahwinan dan prosedurnya hendaklah diikuti dengan merujuk pihak Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal saudara untuk bernikah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.