Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Jika seseorang itu baligh tetapi dia tak sedar bahawa dia sudah baligh. Oleh itu, dia tidak melakukan mandi junub. Selepas 2 tahun berlalu baru dia sedar yang dia sudah baligh dan dia terus mandi junub, persoalannya patut ke dia qada' balik semua solat dan puasa dia sepanjang 2 tahun tu ?
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Syarat mandi wajib atau mandi junub bagi lelaki ialah;
1) Keluar Air Mani
2) Bersetubuh
3) Mati (Jenazah)
Baligh pula bermaksud keadaan seseorang yang cukup umur menjadi dewasa di samping perubahan bentuk badan dan kematangan diri (dari seorang kanak-kanak ke dewasa).
Berdasarkan kepada persoalan yang dikemukakan, baligh bukanlah syarat mandi junub, melainkan jika dia ada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan mandi junub seperti di atas, maka dia wajib mandi.
Bermakna, jika dalam masa 2 tahun lalu dia pernah melakukan perkara yang menyebabkan mandi junub tetapi dia tidak mandi, maka wajib qada' solat dan puasanya kerana solat dalam keadaan berhadas (tidak bersuci) adalah tidak sah. Firman Allah SWT yang dalam surah an-Nisa' ayat 43;
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنتُمۡ سُكَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَعۡلَمُوا۟ مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِی سَبِیلٍ حَتَّىٰ تَغۡتَسِلُوا۟ۚ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci.
والله أعلم بالصواب