BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak bertanya jika pernah membuat pinjaman ptptn tapi tidak berkemampuan untuk bayar kerana berkahwin dan tidak bekerja. Suami juga gaji cukup untuk tampung kehidupan, adakah andai saya mati nanti roh saya akan tergantung kerana gagal melunaskan hutang dan adakah dosa sy akn diampun? 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara asasnya hukum membayar hutang adalah wajib. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat ke-282:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا ۚ فَإِن كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ ۚ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِن رِّجَالِكُمْ ۖ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَن تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَىٰ ۚ وَلَا يَأْبَ الشُّهَدَاءُ إِذَا مَا دُعُوا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutangitu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Dalil ini menekankan perintah wajib untuk melangsaikan hutang. Selain itu, hal hutang ini turut ditegaskan melalui sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

نَفْسُ اَلْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ, حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Jiwa seseorang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya. (Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelas difahami bahawa hukum membayar hutang adalah wajib, malah wajib bagi orang yang berhutang itu berniat untuk membayarnya. 

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksudnya: Siapa yang mengambil harta manusia (berhutang) disertai maksud (niat) akan membayarnya maka Allah akan membayarkannya untuknya, sebaliknya siapa yang mengambilnya dengan maksud merosaknya (merugikannya) maka Allah akan merosak orang itu. (Riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun jika tidak berkemampuan, Allah tidak membebankan seseorang itu dengan sesuatu yang di luar kemampuan, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 286:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Di dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya: Melewatkan pembayaran hutang bagi orang yang kaya adalah suatu kezaliman. (Riwayat al-Bukhari)

Ini bermakna, melewatkan bayaran bagi yang tidak berkemampuan tidak dianggap suatu kezaliman atau berdosa.

Walau bagaimanapun, wajib ke atas orang yang berhutang itu berniat dan berusaha untuk melunaskan hutangnya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 149

message user image