Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t. Baru2 ini saya ada melihat video dimana pelanggan datang ke kedai makan sambil membuat video. Setelah selesai makan, pelanggan tersebut enggan membayar malah menyuruh kedai tersebut untuk membayar sejumlah wang kepadanya atas sebab beliau telah membuat review kedai tersebut. Pada awalnya pihak kedai tersebut enggan membayar kerana pelanggan tersebut tidak dijemput untuk melakukan sebarang review dan tiada persetujuan terdahulu dilakukan sebelum beliau datang ke kedai makan itu. Namun, setelah diasak beberapa kali oleh pelanggan, pihak kedai akur untuk membayar pelanggan tersebut. Soalan saya, apakah hukum mengambil duit tersebut dan menjadikan kegiatan ini sebagai salah satu punca cari rezeki?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan; kini terdapat pelbagai teknik yang dilakukan oleh peniaga bagi melariskan jualan mereka. Antara teknik terkenal yang digunakan peniaga adalah dengan menggunakan khidmat ulasan berbayar atau paid review. Orang yang menjalankan khidmat paid review ini akan diberikan produk oleh peniaga untuk mencubanya sendiri dan diminta untuk mempromosikan dan menyakinkan orang ramai untuk membeli produk tersebut.
Perkhidmatan ini secara asasnya dilakukan atas kerelaan atau persetujuan antara peniaga dan juga pemberi khidmat. Kerelaan ini mestilah terjadi tanpa adanya sebarang unsur yang mencacatkan kerelaan contohnya penipuan, menyembunyikan aib dan lain-lain. Semakin tinggi nilai populariti seseorang, biasanya akan semakin tinggi kadar bayaran yang dikenakan.
Berbalik kepada soalan di atas, tindakan seseorang yang membuat ulasan terhadap sesuatu produk tanpa izin dan persetujuan bersama dan meminta bayaran terhadap khidmat tersebut merupakan satu tindakan yang bertentangan dengan syarak. Ia boleh dianggap sebagai mengambil kesempatan terhadap orang lain dan mengambil harta secara batil. Memaksa peniaga atau pemiik permis untuk membayar adalah suatu kezaliman dan menerima wang daripadanya tanpa kerelaan adalah suatu dosa.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin.