BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Adakah akan termakbul doa seorang ibu sekiranya dia mendoakan hal yang buruk tentang anak? Dulu saya jahil, hanya percaya apa yang ibu minta. Bila sudah besar, saya sedar apa yang ibu minta semuanya salah disisi agama. Apabila saya tidak ikut, hari-hari mendoakan benda buruk untuk saya. makbul ke doa itu? Saya takkan mampu sokong perbuatan salah dia, saya hanya mampu mendoakan dia berubah. Saya takut kerana islam selalu mengajar saya bahwa doa ibu tiada hijab. Tapi ibu saya selalu ke arah yang salah.. saya taknak terlibat dengan perkara tak elok.. tapi setiap hari ibu kata saya anak derhaka. Saya tak pernah gagal jalankan tanggungjawab saya sebagai anak. Tapi saya takut ibadah saya menjadi sia-sia kerana ibu mendoakan saya sebagai anak derhaka.. adakah benar doa ibu dimakbulkan? Adakah ibadah saya ditolak sebabkan doa ibu saya?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Doa ibu berkenaan hal yang buruk tentang anaknya tidak semestinya makbul kerana itu adalah urusan dan ketentuan daripada Allah SWT yang memakbulkan doa. Nabi SAW juga melarang seseorang berdoa keburukan sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ، لَا تُوَافِقُوا مِنَ اللهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيهَا عَطَاءٌ، فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ

Maksudnya : Jangan berdoa keburukan atas diri kamu sendiri, jangan berdoa keburukan atas anak-anak kamu, jangan berdoa keburukan atas harta kamu. Jangan sampai kamu berdoa (keburukan) tepat pada masa Allah memakbulkan doa kamu. (Riwayat Muslim)

Tidaklah dikategorikan anak derhaka jika menolak arahan ibu yang menyuruh melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Bahkan, ibu itulah yang derhaka kerana melanggar suruhan dan perinah Allah SWT. Hadis daripada Ali RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ

Maksudnya: Tiada ketaatan dalam kemaksiatan. Sesungguhnya ketaatan itu pada perkara kebaikan. (Riwayat al-Bukhari)

Ibadah saudari juga tidak terjejas dengan sebab kata-kata ibu. Balaslah keburukan kata-kata ibu dengan perkataan yang baik-baik. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 34:

وَلَا تَسۡتَوِی ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّیِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِی بَیۡنَكَ وَبَیۡنَهُۥ عَدَ ٰ⁠وَةࣱ كَأَنَّهُۥ وَلِیٌّ حَمِیمࣱ

Maksudnya: Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Tindakan saudari yang sentiasa mendoakan agar ibu berubah adalah perbuatan yang mulia. Jadilah anak yang solehah yang sentiasa mendoakan ibu. Semoga suatu hari nanti hatinya lembut dan sedar kesalahannya serta tidak melanggar perintah Allah SWT.  

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 531

message user image