Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Bolekah kita rebranding barang, seperti ada satu company ni die ambik inspirasi bau minyak wangi brand lain lepastu die letak pada produk dia( jenama dia) adakah ini dibenarkan ?
Contoh seperti brand yang tengah up iaitu szindore
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Jenama menurut Dewan Bahasa dan Persuratan ialah jenis barang yang memakai nama khas yang dikeluarkan oleh pengeluar (pembuat, pengilang) tertentu. Ia juga bermaksud nama, istilah, reka bentuk, simbol dan ciri lain yang digunakan oleh sesuatu organisasi atau produk bagi membezakan perniagaannya dengan orang lain. .
Manakala rebranding atau penjenamaan semula merupakan suatu usaha untuk memperbaiki perusahaan yang sedia ada ke arah yang lebih baik dari segi kualiti, mutu, kuantiti produk dan sebagainya bagi menghasilkan perniagaan yang lebih baik dan menguntungkan.
Menurut soalan tuan, kami berpendapat adalah tidak menjadi kesalahan jika seseorang mengambil inspirasi dari perusahaan orang lain untuk melakukan penjenamaan sendiri. Hal ini kerana tindakannya hanya mengambil inspirasi dan bukanlah meniru produk yang sama tanpa izin pemilik asal. Bahkan, penjenamaan baru telah dilakukan menunjukkan wujudnya perbezaan produknya dengan produk yang diambil inspirasi.
Perkara ini berbeza dengan pembuatan atau penjualan barang tiruan sebagai helah untuk mengambil keuntungan kepentingan peribadi dengan mencuri hak cipta orang lain tanpa izin pemilik asal yang jelas dilarang dalam Islam.
والله أعلم بالصواب