Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya bekerja sebagai seorang web developer. Salah satu kerja saya perlu lakukan adalah upload gambar staff ke website rasmi syarikat. Tapi, segelintir staff tak menutup aurat (seperti tidak memakai tudung). Jadi apakah hukum nya ke atas saya kalau saya upload gambar tersebut atas arahan boss saya?
Terima kasih. Jazakallahu khairan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
ISecara asasnya Islam tidak melarang sama sekali untuk kita bergambar dengan tujuan dan niat yang tertentu. Sama ada keseluruhan tubuh badan atau sebaliknya. Cuma hendaklah mempastikan ia menepati ketetapan syarak dan tiada sebarang unsur yang mengundang fitnah atau maksiat.
Dalam hal ini, tugas saudara memuatnaik atau menupload gambar kakitangan tersebut dengan aurat yang tidak ditutup adalah dalam 2 keadaan yang berbeza.
Hukum memuatnaik gambar atas arahan ketua jabatan dan tugas adalah harus kerana itu adalah urusan kerja. Manakala hukum individu untuk menutup aurat adalah wajib ke atas individu itu sebagaimana yang telah Allah SWT perintahkan.
Justeru, saudara tidak menanggung dosa bagi pihak orang yang tidak menutup aurat, bahkan mereka sendiri yang menanggung dosa masing-masing. Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 164:
وَلَا تَكۡسِبُ كُلُّ نَفۡسٍ إِلَّا عَلَیۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
والله أعلم بالصواب