BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Asalamualaikum wbt, saya ada pertanyaan mengenai berbin/binti kan anak tidak sah taraf. Abang saya telah mendapat anak tidak sah taraf dengan kelakuan terkutuk. Dan mereka berdua telah pun berkahwin dengan keadaan orang yang menikahkan tidak mengetahui tentang kandungan tersebut termasuklah ahli keluarga. Justeru setelah lahirnya bayi lelaki tersebut, abg saya dan isterinya telah sepakat untuk meletakkan nama anak lelakinya berbinkan nama saya. Dan ini telah mengundang kemarahan ahli keluarga. Jadi persoalan saya adakah boleh anak tidak sah taraf dari abang saya berbinkan/berbintikan adik beradik kandung bapa biologi anak tidak sah taraf tersebut? Jika ya mengapa dan jika tidak apakah solusi yang boleh saya buat untuk menyelesaikan permasalahan ini? Kerana bagi saya Ia melibatkan nasab keturunan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, anak tak sah taraf tidak boleh dan haram untuk dibinkan/ bintikan sama ada kepada bapa biologinya atau mana-mana ahli keluarga yang lain. Jabatan ini berpandangan seperti berikut:-

1. Secara asasnya seorang anak yang lahir dalam pernikahan yang sah akan dinasabkan kepada bapa tersebut dan tidak boleh dinasabkan atau dibinkan kepada orang lain. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

(الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ، ولِلْعَاهِرِ الحَجرُ)

Maksudnya: Anak adalah hak (dinasabkan kepada) pemilik katil (perkahwinan yang sah). Sedangkan bagi penzina batu (dihukum rejam dengannya). (Riwayat al-Bukhari)

2. Nasab merupakan perkara penting di dalam Islam kerana banyak perkara dalam Islam yang terkait dengan hukum nasab seperti perwalian, batas aurat serta pewarisan harta. Oleh kerana itu, penasaban seseorang anak kepada seorang lelaki sebagai bapa hanya boleh dilaksanakan mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

3. Berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 tentang Menggabungkan Nama Anak Angkat Dengan Bapa Angkat Dalam Sijil Pengangkatan Dan Kad Pengenalan. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

        a) Mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya.

        b) Menggabungkan nama bapa angkat dengan nama anak angkat dalam apa jua bentuk perlu dielakkan sebagai langkah saddu al-zari’ah iaitu menutup ruang-ruang  yang boleh membawa kepada kecelaruan nasab.

        Nasab Anak Angkat Tak Sah Taraf

        a) Anak angkat tak sah taraf hendaklah dibinkan dengan salah satu dari sembilan puluh sembilan nama-nama Allah (asma al-husna) dan dimulakan dengan Abdul.

        b) Dalam keadaan nama bapa angkat sama atau seakan-akan sama dengan nasab anak tak sah taraf yang diambil sebagai anak angkat maka nasab anak angkat mesti ditukar dengan salah satu nama-nama Allah yang lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 71

message user image