BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Tuan Mufti. Saya ada persoalan berkaitan 'Sujud Tilawah'.

Jika seseorang itu tidak mampu melakukan sujud tilawah (atas faktor adanya halangan) selepas membacanya/mendengar ayat Sajadah, adakah kita perlu membaca zikir penggantinya (iaitu zikir: سُبْحَانَ الله وَالْحَمْد لله وَلَا إِلَه إِلَّا الله وَالله أكبر وَلَا حول وَلَا قُوَّة إِلَّا بِاللَّه الْعلي الْعَظِيم )? Boleh saya tahu juga kesahihan zikir ini?

Terima kasih, Tuan Mufti.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Amalan sujud tilawah atau lebih dikenali sebagai sujud sajadah adalah perbuatan yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada Ibnu Umar RA beliau berkata:

‌أَنَّ ‌النَّبِيَّ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌كَانَ ‌يَقْرَأُ ‌الْقُرْآنَ ‌فَيَقْرَأُ ‌سُورَةً ‌فِيهَا ‌سَجْدَةٌ، ‌فَيَسْجُدُ ‌وَنَسْجُدُ ‌مَعَهُ ‌حَتَّى ‌مَا ‌يَجِدُ ‌بَعْضُنَا ‌مَوْضِعًا ‌لِمَكَانِ ‌جَبْهَتِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW ketika membaca al-Quran dan baginda membaca surah yang terdapat padanya ayat sajadah, maka baginda bersujud dan kami turut bersujud bersamanya sehingga tiada bagi kami tempat untuk sujud. (Riwayat Muslim)

Di dalam hadis yang lain seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌إِذَا ‌قَرَأَ ‌ابْنُ ‌آدَمَ السَّجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَّيْطَانُ يَبْكِي، يَقُولُ: يَا وَيْلَهُ أُمِرَ ابْنُ آدَمَ بِالسُّجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الْجَنَّةُ، وَأُمِرْتُ بِالسُّجُودِ فَأَبَيْتُ فَلِيَ النَّارُ

Maksudnya: Jika seorang anak Adam membaca ayat Sajadah kemudian dia sujud, maka syaitan akan melarikan diri dan menangis sambil berkata: Celakalah aku, anak Adam disuruh untuk sujud dan dia sujud dengan patuh, dan dia mendapat ganjaran syurga. Tetapi aku diperintahkan untuk sujud dan aku enggan untuk sujud, maka aku mendapat balasan neraka. (Riwayat Muslim)

Oleh itu, seseorang itu dituntut mengerjakan sujud sajadah kerana ia merupakan satu amalan yang dihukumkan sebagai sunat. Namun begitu, jika terdapat halangan dalam melaksanakan amalan tersebut. Maka dia boleh menggantikan amalan tersebut dengan bacaan Tasbih, Tahmid, Tahlil dan Takbir. Hal ini dijelaskan oleh sebahagian ulama shafi'iyah seperti Sheikh Nawawi al-Bantani di dalam kitabnnya Nihayatul Zain, katanya:

"Jika seseorang tidak berkemungkinan dapat mengerjakan sujud tilawah kerana sibuk, maka memadai baginya dengan menyebut bacaan

 سُبْحَانَ ‌الله ‌وَالْحَمْد ‌لله ‌وَلَا ‌إِلَه ‌إِلَّا ‌الله ‌وَالله ‌أكبر وَلَا حول وَلَا قُوَّة إِلَّا بِاللَّه الْعلي الْعَظِيم

sebanyak empat kali. Begitu juga bagi sujud syukur dan solat tahiyatul masjid."

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 456

message user image