BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualikum ustaz,
 

Saya ingin bertanya dan meluahkan sedikit masalah. Saya Helmy berumur 36 tahun dan masih tidak berkahwin. Saya hanya dua beradik kandung (sama mak & ayah) iaitu seorang kakak (umur 39) juga belum berkahwin. Ayah dan mak saya telah bercerai pada tahun 1994 ketika saya 6 tahun. Kemudian ayah saya kahwin pada 1996 dan bercerai dengan pasangannya pada 2001. Ayah saya kahwin lagi pada 2004 dan bercerai lagi pada 2008. Ketika itu hasil perkahwinan nya dikurniakan 2 anak lelaki ( lahir tahun 2005 & 2007). 

Soalan 1 : 
Adakah menjadi tanggungjawab saya untuk menanggung 2 anak lelaki nya? Kerana ketika ini ayah saya tidak mampu bekerja disebabkan menghidap strok dan umur nya pun sudah 63 tahun.

Ibu kandung saya pula berumur 72 tahun. Setelah diceraikan oleh ayah saya pada 1994, dia berkahwin semula pada 2003 dengan duda anak 12 orang. Ayah tiri saya tidak bekerja. Hanya mengharapkan pencen ibu saya dan gaji saya untuk duit makan, bil api air dan sebagainya. 

Soalan 2

Saya tidak mempunyai niat untuk kahwin kerana memikirkan tanggunjawab saya yang besar untuk menyara keluarga. Kadang-kadang saya rasa tertekan kerana memikirkan ayah saya yang strok walaupun dari kecil saya tidak duduk dengan ayah tetapi soal perubatan & hospital kini dikendalikan oleh saya. Adakah saya ini kira berdosa & nabi Muhammad tidak akan mengaku umat kerana saya tidak ada keinginan untuk berkahwin.?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Pada asasnya, tanggungjawab memberi nafkah kepada seorang anak adalah bapanya.

Namun, dalam keadaan ketiadaan bapa atau bapa tidak berkeupayaan, maka pihak Mahkamah Syariah boleh memerintahkan pembayaran nafkah kepada orang tertentu sebagaimana peruntukan di dalam Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, Seksyen 61. Kuasa Mahkamah untuk memerintah nafkah bagi seseorang tertentu : Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut Hukum Syarak supaya membayar nafkah kepada seorang lain jika dia tak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya.

Di dalam mentafsirkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut Hukum Syara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menetapkan melalui Arahan Amalan no. 14 Tahun 2007. Susunan waris yang bertanggungjawab membayar nafkah: 

i. Orang-orang yang bertanggungan mengikut Hukum Syara yang boleh diperintahkan membayar nafkah bagi seseorang tertentu mengikut peruntukan Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri ialah waris-waris lelaki mengikut tertib 'asobah dalam faraid.

ii. Sekiranya waris-waris lelaki tiada atau tidak berupaya, Mahkamah boleh memperakukannya kepada Baitulmal untuk membayar nafkah tersebut.

Ini bermakna, orang yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada seseorang anak itu selain daripada bapanya adalah antaranya, datuk sebelah bapa, saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa dan bapa saudara lelaki sebelah bapa. Memandangkan tuan tersenarai di dalam mereka yang boleh diperintahkan oleh phak mahkamah untuk memberi nafkah kepada anak kepada bapa tuan daripada isteri yang lain, tambahan pula anak itu adalah adik beradik sebapa tuan, maka adalah wajar bagi pihak tuan untuk membantu mereka sekiranya tuan berkemampuan untuk berbuat sedemikian.

2. Hukum asal perkahwinan itu adalah sunat. Ini adalah kerana ia merupakan salah satu sunah Nabi Muhammad SAW. Daripada Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya : Demi Allah, sesungguhnya aku lebih takutkan Allah daripada kamu dan paling bertaqwa kepada-Nya daripada kamu namun aku berpuasa dan aku berbuka, aku sembahyang dan aku tidur dan aku mengahwini perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka akan sunahku, dia bukan dari kalanganku. 

Walau bagaimanapun, hukum berkahwin boleh berbeza mengikut keadaan seseorang. Perkahwinan boleh menjadi wajib sekiranya seseorang itu berkemampuan dan jika tidak berkahwin menyebabkan berlakunya kemaksiatan.

Merujuk kepada persoalan tuan yang belum berkeinginan untuk berkahwin disebabkan keadaan tuan yang risau memikirkan keadaan serta tanggungjawab tuan terhadap orang tua, maka tidaklah berdosa dan tidak pula terkeluar dari dianggap sebagai umat Nabi Muhammad SAW selama tidak meremehkan atau menafikan pensyariatan perkahwinan di dalam Islam.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 78

message user image