BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya. saya ada seorang kekasih dan saya pernah berzina dengan kekasih saya berkali kali sewaktu dahulu. Semenjak beberapa bulan ini saya berniat di dalam hati bahawa saya nak berubah menjadi lebih baik ke jalan Allah tetapi kekasih saya tidak menerima tindakkan saya itu dan saya mengajak dia untuk berubah bersama saya dan dia tidak terima. Apa yang perlu saya buat sama ada berkahwin dengan dia atau tinggalkan dia kerana melarang saya bertaubat.mohon jawap pertanyaan saya terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, melakukan zina adalah berdosa besar dan perbuatan keji yang membawa kerosakan dalam masyarakat Islam dan merupakan di antara dosa besar yang dibenci oleh Allah SWT. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Israa' ayat ke 32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).  

Walau sebesar manapun dosa yang dilakukan oleh seorang manusia, peluang bertaubat tetap terbuka luas selagi belum tibanya ajal seseorang atau sebelum terbitnya matahari dari sebelah barat (kiamat). Sekiranya Allah SWT menggerakkan hati tuan untuk bertaubat kepadaNya dari dosa lampau, itu merupakan satu anugerah yang amat berharga dan patut disyukuri. Setiap pelaku dosa wajib untuk bertaubat kepada Allah SWT. Syarat taubat adalah:

1. Meninggalkan dosa tersebut serta-merta.

2. Menyesal di dalam hati.

3. Berazam tidak akan mengulangi dosa tersebut.

Kesungguhan tuan untuk bertanggungjawab merupakan sesuatu perkara yang baik. Walau bagaimanapun, ia terhalang disebabkan pilihan yang dibuat oleh kekasih dan sikap tidak mahu berubahnya.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Nur ayat 3:

الزَّانِي لَا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. 

Menerusi ayat ini, jelas lelaki yang beriman tidak sewajarnya bersama perempuan yang cenderung melakukan zina. Tambahan pula perempuan tersebut tidak mahu bertaubat dan lebih merosakkan lagi apabila dia  melarang tuan daripada bertaubat. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 204

message user image