BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya perempun bujang umur 30+tahun, sudah lama hidup berdikari. Saya tak suka dikongkong atau disuruh², oleh itu saya ragu² untuk berkahwin kerana saya tak mahu masuk neraka disebabkan tidak taat suami . Pada masa yang sama, saya masih berkeinginan kearah nafsu batin.

Soalan saya: 

1. Apakah makruh untuk saya berkahwin kerana tujuan saya hanya inginkan hubungan intim?

2. Bolehkan buat perjanjian perkahwinan bertulis (seperti pre-nuptial) supaya suami tidak mengongkong atau suruh isteri macam-macam?

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Perkahwinan merupakan tuntutan agama bagi memenuhi fitrah semula jadi manusia. Ia bertujuan untuk menjaga keturunan, memelihara kesucian diri, melaksanakan tuntutan syariat, memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Rum ayat ke-21:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Hukum asal bagi perkahwinan adalah mustahab atau sunat. Ini adalah kerana ia merupakan sunah Baginda Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun, hukum tersebut boleh berubah mengikut keadaan.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, kami dapati adalah sunat untuk saudari mendirikan rumahtangga atas sebab yang dinyatakan, ia bertujuan menghindarkan diri daripada terjebak dengan sebarang maksiat atau kemungkaran. Tambahan pula, tiada sebarang paksaan atau halangan untuk mendirikan rumahtangga. Namun sekiranya dengan tidak berkahwin menyebabkan puan terjebak dengan kemaksiatan, maka hukum berkahwin bagi saudari adalah wajib.

Merujuk kepada persoalan kedua, hukum membuat perjanjian perkahwinan adalah dibolehkan selagimana perjanjiannya tidak melanggar hukum Islam (syarat-syarat yang diletakkan tidak meminda atau mengubah hukum Allah SWT). Walau bagaimanapun, adalah disarankan untuk membuat perbincangan sebaiknya bersama bakal pasangan supaya mencapai kesepakatan dan masing-masing memahami perkara yang disukai serta tidak disukai. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan memberi hasil yang positif. Ini kerana, hakikat dalam membina rumah tangga adalah bergantung kepada kesepaduan antara suami dan isteri dalam melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing. Tidak dilupakan juga pengorbanan, di mana suami berkorban untuk isterinya dan isteri berkorban untuk suaminya. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang, ketenangan dan juga rahmah dalam hubungan yang dibina.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 124

message user image