BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..saya ingin bertanya

saya bernazar sekiranya saya berjaya memperoleh markah A dalam subjek matematik dalam peperiksaan spm saya akan berpuasa selama sebulan berturut-turut. Alhamdulillah saya dapat markah A dalam subjek tersebut.Jadi saya teruskan dengan nazar saya.Namun demikian setelah berpuasa hingga hari yang ke-18 saya dah batalkan puasa saya sebab dah tak larat(untuk 1 hari je yang saya batalkan) kemudian hari yang ke 19 hingga hari yg ke 30 saya dapat teruskan puasa saya.

Persoalan saya ialah bagaimana saya perlu gantikan puasa saya yang terbatal tu? Kalau kene bayar kaffarah berapa yang perlu saya bayar ?dan  bolehkah duit itu saya masukkan dalam tabung fakir miskin di masjid? sebab kalau nak pergi ke MAIS/JAIS saya agak keberatan dan ada masalah tertentu yang tak boleh saya elakkan. sekian 

mohon pencerahan.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.

Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)

Dalam situasi yang disebutkan di atas, meninggalkan satu hari puasa tersebut menyebabkan pelaksanaan nazar tersebut menjadi tidak sempurna kerana tuan telah mengikat puasa tersebut dengan lafaz berturut-turut, jika mampu maka ulangilah puasa tersebut sebagaimana disyaratkan iaitu puasa selama sebulan berturut-turut. Walau bagaimanapun, jika sekiranya tidak berkemampuan untuk menunaikan nazar tersebut selepas berusaha melakukannya, maka hendaklah membayar kaffarah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 89:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.

Justeru itu, hendaklah orang yang tidak mampu untuk menunaikan nazarnya untuk melaksanakan kaffarah dengan memilih sama ada memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang miskin atau memerdekakan hamba (sekiranya ada). Pembayaran kaffarah juga boleh dibayar kepada pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam Negeri. Jika ketiga-tiga perkara di atas tidak mampu untuk ditunaikan, maka perlu untuk berpuasa selama tiga hari berdasarkan firman Allah SWT di atas.

Di samping itu, adalah dinasihatkan agar tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Malah sebahagian Ulamak menghukumkannya sebagai makruh. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. (Riwayat Muslim)

Maklumat lanjut mengenai kaffarah melanggar sumpah serta bayaran secara atas talian ke Baitulmal Selangor boleh dilakukang di laman sesawang: https://fpx.mais.gov.my/epay/kaffarah.php.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.     


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 194

message user image