Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh buat Sahibus Samahah dan para panel berkaitan...bolehkah kita kita orang Islam melakukan "Haka"?katanya "Haka" adalah adat orang Maori... Jazakumullah khair
Jawapan
Suku Maori merupakan bangsa yang terkenal dengan kebudayaannya yang sangat unik. Hakka merupakan salah satu tarian kebudayaan tradisional yang terkenal suku Maori. Tarian hakka merupakan tarian yang dijadikan sebagai simbol persatuan dan kesatuan serta kekuatan suku Maori. Ia dilakukan secara berkelompok untuk menyambut tetamu kehormat mereka. Gerakan tarian ini menaikkan semangat mereka dengan menghentakkan kaki, menjulurkan lidah serta menepuk tubuh secara berirama.
Berdasarkan soalan tuan, tiada masalah bagi orang Islam untuk melakukannya sekiranya ia tidak melibatkan unsur keagamaan atau kepercayaan agama lain yang boleh merosakkan akidah umat Islam. Walaupun begitu, hendaklah dijaga batas yang ditetapkan syarak supaya perbuatan tersebut tiada unsur percampuran antara lelaki dan perempuan atau tidak menimbulkan sebarang fitnah kepada agama Islam atas perbuatan yang bukan menjadi kebudayaan kita sebagai orang Islam dan Melayu yang kaya dengan nilai murni, sopan santun dan akhlak mulia.