Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Saya ingin bertanya berkaitan pajak gadai emas.
Contoh situasi seperti berikut;
1. Ali ada duit RM600,000 untuk digunakan sebagai modal perniagaan. Wang tersebut hasil simpanan peribadinya, bukan wang pinjaman.
2. Dengan duit itu, Ali membeli 2KG emas secara tunai dan mengadaikannya beberapa hari selepas itu di pejabat Ar-Rahnu.
3. Hasil perbincangan, beliau diberi pinjaman sebanyak 90% dari nilai marhun emas tersebut iaitu sekitar RM540,000.
4. Duit hasil gadaian emas tersebut pula, beliau gunakan untuk memulakan perniagaan secara separuh masa.
5. Setiap 10 bulan, Ali akan membayar upah simpan dan memperbaharui tempoh gadaiannya.
6. Setelah 5 tahun berniaga, Ali memperoleh keuntungan berlipat kali ganda dari perniagaannya itu.
7. Beliau menebus semula 2KG emas yang telah digadainya sebelum ini dari Pejabat Ar-Rahnu.
8. Emas yang telah beliau tebus itu dijual semula di kedai emas untuk mendapatkan tunai.
9. Secara tidak langsung, beliau bukan sahaja mendapat keuntungan dari perniagaannya itu, bahkan keuntungan dari kenaikan harga emas gadaiannya.
Berdasarkan situasi di atas;
Soalan 1 : Apakah hukumnya jika seseorang yang mempunyai wang tunai membeli emas bertujuan untuk dijadikan sebagai sandaran menjalankan perniagaan sahaja atas alasan wang kertas (fiat) ada kadar inflasi tetapi emas tiada? Secara tidak langsung, beliau juga telah menggunakan duit hasil gadaian emas itu sebagai modal pelaburannya.
Soalan 2 : Jika agama tidak melarangnya, bolehkah jika sesebuah syarikat perniagaan menukarkan sebahagian besar tunai dan aset yang mereka miliki kepada emas dan mengadaikan emas tersebut bagi mereka dapatkan semula tunai (melalui pinjaman hasil gadaian) untuk modal perniagaan, pelaburan dan membiayai operasi syarikat?
Terima kasih.
Jawapan
Soalan 1: Hukum membeli emas dengan niat menjadikan emas tersebut sebagai cagaran untuk membuat pinjaman dan dengan wang pinjaman tersebut digunakan bagi memulakan perniagaan adalah diharuskan dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Soalan 2: Begitu juga bagi mana-mana syarikat yang ingin melakukan seperti di atas, ia harus dan dibenarkan.
Walau bagaimanapun, bagi proses no. 5, yang mana pihak pemberi hutang mensyaratkan emas (harta cagaran) tersebut hendaklah disimpan bersama mereka dengan mengenakan bayaran atau upah, adalah salah dan menyalahi hukum syarak. Ini adalah kerana ia mengandungi usur riba sebagaimana kaedah Fiqh yang mengatakan:
Maksudnya: Setiap hutang yang menghasilkan manfaat atau keuntungan, maka ia adalah riba.