BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Semasa mengerjakan haji yang lepas, saya mendapati tapak kasut saya mempunyai sedikit kotoran yang melekat setelah selesai tawaf wada'. Ianya telah dipegang dalam plastik semasa melakukan tawaf. Tidak dapat dipastikan asal kotoran tersebut sama ada berunsur najis atau tidak dan tidak pula diketahui bila ia melekat. Apakah hukum tawaf yang telah dilakukan itu?

Butiran pasir yang melekat di tapak kasut setelah kembali ke Malaysia, adalah ianya perlu dikembalikan? Saya dimaklumkan bahawa, jika batu daripada tanah haram, ia mesti dikembalikan manakala butiran pasir kecil adalah dimaafkan. Sekecil manakah dikira sebagai kecil? Butir pasir yang melekat di tapak kasut saya sebesar satu pertiga biji beras. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Merujuk kepada persoalan puan, pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah Fiqah:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).

Oleh itu, tawaf yang dilakukan adalah sah. Ini kerana puan tidak dapat memastikan kotoran yang melekat pada tapak kasut itu sama ada najis atau tidak najis. Justeru itu tapak kasut tersebut adalah kekal bersih dan suci.

2. Di dalam mazhab Imam Syafi’i, tidak boleh membawa tanah daripada tanah haram keluar ke tanah halal. Jika sudah terlanjur membawanya keluar, hendaklah memulangkannya kembali ke tanah haram jika berkemampuan. Namun, berdasarkan kepada makluman yang puan berikan bahawa butiran pasir yang melekat pada tapak kasut tersebut adalah perkara yang di luar jangkaan dan bukan niat puan untuk membawa balik pasir tersebut ke Malaysia. Tambahan pula keadaan butir pasir yang sedikit dan kecil. Oleh itu, ianya tidak perlu dikembalikan ke tanah haram.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 168

message user image