Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT,
Saya ingin bertanyakan satu soalan kepada pihak jabatan. Saya sudah berkahwin, dan baru- baru ini terdapat pertelingkahan antara saya dan isteri saya disebabkan oleh pihak ketiga yang sudah berkahwin juga. Saya berjanji kepada isteri saya saya tidak akan curang lagi dan suami wanita tersebut juga membuat satu surat yang mengandungi talak taklik yang mengatakan jika saya curang semula akan gugur talak satu dan meminta saya menandatanganinya. Namun ke esokan hari nya saya ada menghubungi wanita itu semula tetapi bukan untuk meneruskan hubungan tetapi hanya untuk memberitahu lanjut mengenai perkara ini. Persoalannya, adakah jatuh talak tersebut jika saya menghubungi wanita tersebut hanya untuk memberi penjelasan, bukan untuk menyambung hubungan?. Adakah itu dikira sebagai curang semula?. Apakah perkara yang harus saya lakukan bagi perkara tersebut? Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Maaf kerana menganggu pada waktu malam.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Secara umum cerai atau talak taklik bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak. Seperti ucapan suami: "Jika saya curang semula akan gugur talak satu". Kesannya adalah bila suami melakukan kecurangan kepada isterinya, maka boleh menyebabkan jatuhnya talak.
Adapun persoalan berkaitan tindakan tuan menghubungi wanita tersebut atas sebab untuk memberi penjelasan berkaitan sesuatu perkara dan bukan untuk menyambung hubungan, ia adalah bergantung kepada penghuraian makna curang yang tuan telah bincangkan dan persetujui bersama suami wanita tersebut. Sekiranya curang itu dikhususkan dengan maksud tindakan yang boleh menyebabkan terjalinnya hubungan suka sama suka, rasa cinta atau sayang, atau termasuk menghubunginya dengan apa cara sekalipun seperti talipon, whatapp atau sebagainya, maka apa-apa tindakan atau perbuatan yang menjurus maksud itu adalah dikira sebagai curang.
Walau bagaimanapun, adalah disyorkan agar isu ini dirujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera supaya mendapat pengesahan yang lebih jelas daripada pihak yang berautoriti kerana pengesahan status talak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apatah lagi sekiranya timbul pertikaian antara pasangan atau mana-mana pihak samada tindakan yang berlaku itu boleh membawa jatuhnya talak atau sebaliknya.
والله أعلم بالصواب